
KUALA LUMPUR, 25 Jun– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Venezuela susulan gempa bumi kuat yang melanda bahagian utara negara itu.
- Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah dan doa kepada keluarga mangsa serta mereka yang masih menunggu khabar.
- Jumlah sebenar mangsa terkorban dan terjejas masih belum diketahui.
- Beliau yakin pasukan penyelamat serta sokongan antarabangsa mampu membawa kelegaan kepada mangsa yang memerlukan.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata, bencana berkenaan merupakan antara gempa bumi paling kuat yang pernah melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.
Menurut beliau, jumlah sebenar mangsa yang terkorban dan terjejas masih belum diketahui.
“Saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada rakyat Venezuela susulan gempa bumi yang melanda bahagian utara negara itu.
Ingatan dan doa saya bersama setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang serta mereka yang masih menunggu khabar ahli keluarga yang terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menyatakan keyakinan terhadap usaha pasukan penyelamat Venezuela yang sedang bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, Malaysia percaya sokongan yang sedang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa mampu membantu meringankan beban mangsa yang terjejas.
“Kami yakin dengan keberanian pasukan penyelamat Venezuela yang sedang berusaha dalam beberapa hari ini.
Kami juga percaya bantuan yang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa akan membawa kelegaan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.2 melanda barat Caracas pada Rabu, sebelum disusuli satu lagi gegaran bermagnitud 7.5.
Insiden itu mengakibatkan banyak bangunan runtuh dan penduduk tertimbus di bawah runtuhan.