
JOHOR BAHRU, 25 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor.
- Pembubaran dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor selaras Fasal 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
- Mendapat titah perkenan ialah proses perlembagaan dan sama sekali bukan bermakna arahan atau campur tangan politik.
- Beliau menyifatkan kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tidak bertanggungjawab, berpotensi menjejaskan keharmonian dan menyentuh sensitiviti Institusi Diraja.
- UMNO Johor akan membuat laporan polis dan menyeru hormati Institusi Diraja serta mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Beliau menegaskan pembubaran berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, selaras Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Saya telah menghadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menyifatkan dakwaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan tindakannya memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
“Datuk Dr Mohd Puad berhak meninggalkan UMNO dan mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian berpotensi menyentuh sensitiviti khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.
UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Beliau menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalat institusi berkenaan dalam pertelingkahan politik.