AS gantung sementara sekatan minyak Iran

Foto REUTERS

BURGENSTOCK, 23 Jun – Amerika Syarikat (AS) bersetuju menggantung sementara sekatan ke atas minyak Iran bagi membolehkan negara itu mengeluar, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan sehingga 21 Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS tangguhkan sekatan selepas Iran komited mengekalkan laluan transit bebas Selat Hormuz dan membenarkan pemeriksa IAEA masuk semula.
  • Memorandum persefahaman di Switzerland meletakkan asas rundingan perjanjian akhir dalam 60 hari selepas konflik bersenjata 40 hari.
  • Iran bakal menikmati pelepasan sekatan, pengecualian eksport minyak dan petrokimia, serta pembatalan sekatan maritim.
  • Sebarang dana dicairkan hanya dibenarkan untuk barangan keperluan AS seperti kacang soya, bukan untuk membiayai keganasan.

Keputusan itu diumumkan Jabatan Perbendaharaan AS susulan komitmen Tehran terhadap laluan transit bebas dan terbuka di Selat Hormuz, selain kebenaran untuk pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kembali memasuki negara berkenaan.

Naib Presiden AS JD Vance berkata, kelonggaran itu dicapai selepas kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman di Switzerland yang meletakkan asas bagi rundingan perjanjian akhir dalam tempoh 60 hari, selepas konflik bersenjata selama 40 hari tamat sebelum ini.

Vance menyifatkan persetujuan awal itu sebagai pencapaian besar serta langkah pertama ke arah usaha pembasmian program nuklear Iran secara kekal, meskipun jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei menegaskan rundingan terperinci mengenai isu nuklear masih belum bermula.

“Kita telah meletakkan asas yang sangat baik untuk perjanjian penamat yang berjaya. Perjanjian akhir itu ibarat sebuah rumah… kita belum membina rumah itu, tetapi kita sudah meletakkan asas konkrit untuk membawa kebaikan kepada rakyat Amerika,” kata Vance kepada pemberita di pusat peranginan mewah Burgenstock, di sini.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent mengesahkan penangguhan sekatan itu dibuat atas dasar persetujuan Iran untuk membenarkan semula akses penuh kepada pemeriksa nuklear Bangsa Bersatu (PBB) selepas Tehran menyekat kemasukan mereka susulan perang 12 hari yang meletus pada tahun lepas.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan Pelan berkenaan Iran dijangka bakal menerima pelepasan sekatan ekonomi serta pencairan beberapa aset kewangannya yang dibekukan sebelum ini.

Vance bagaimanapun menegaskan sekiranya aset berkenaan dicairkan kelak, dana tersebut hanya akan dibenarkan untuk membeli barangan keperluan AS seperti kacang soya bagi untuk keperluan makanan kepada rakyat Iran dan bukannya digunakan untuk membiayai aktiviti keganasan.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menerusi hantaran di media sosial memaklumkan bahawa eksport minyak serta petrokimia negaranya kini telah dikecualikan daripada sekatan.

Aragchi turut menyatakan sekatan maritim ditarik balik, dan pelan pembinaan semula serta pembangunan skala besar untuk Iran bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Rentetan perkembangan itu, Setiausaha Negara AS Marco Rubio dijadual mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, dan Bahrain bagi membincangkan perincian kelangsungan laluan selamat di Selat Hormuz yang sebelum ini ditutup oleh Iran pada awal konflik sehingga mencetuskan kejutan ekonomi dunia.

Sementara itu, delegasi rundingan Iran dikhabarkan telah berlepas ke Muscat, Oman bagi membincangkan usaha bersama dalam menguruskan kestabilan selat strategik itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.