
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) laluan Shah Alam akan mula beroperasi Isnin depan.
- Majlis perasmian LRT3 dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 28 Jun di Depoh LRT3; media dijemput membuat liputan rasmi.
- LRT3 menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk.
- Siasatan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dijangka siap hujung minggu ini; hasil akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Majlis Perasmian LRT3 dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Majlis perasmian LRT3 Shah Alam akan berlangsung pada Ahad ini, 28 Jun dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri di Depoh LRT3. Media juga akan dijemput untuk membuat liputan rasmi majlis berkenaan.
“Perkhidmatan LRT3 kemudiannya akan mula beroperasi pada Isnin, 29 Jun,” katanya selepas merasmikan Pejabat baharu JPJ cawangan Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.
LRT3 menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, Selangor yang membabitkan jajaran sepanjang 37.8 kilometer dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk.
Dalam perkembangan lain, berhubung siasatan gangguan perkhidmatan membabitkan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling, beliau berkata laporan siasatan dijangka siap pada hujung minggu ini.
Menurutnya, maklumat lanjut mengenai hasil siasatan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.