
PUTRAJAYA, 22 Jun – Datuk Nadzirah Osman dan Datuk Zanariah Zainal Abidin dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat dan Geneva, Switzerland.
- Kedua-dua menerima surat pelantikan daripada Menteri Luar Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di Wisma Putra.
- Datuk Nadzirah Osman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Universiti Malaya; pernah Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva sejak 2023.
- Datuk Zanariah Zainal Abidin memiliki Sarjana Dasar Awam dari Graduate School of International Politics, Jepun dan pernah Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia sejak 2021.
Kedua-dua individu berkenaan menerima surat pelantikan daripada Menteri Luar Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di Wisma Putra hari ini.
Datuk Nadzirah Osman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994.
Sebelum ini, beliau merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak tahun 2023 dan pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Belanda.
Beliau yang pernah berkhidmat di pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Mexico City, Mexico dan London, United Kingdom itu juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Alam Sekitar Pelbagai Hala selain berkhidmat di Bahagian Eropah Timur serta di Bahagian Amerika.
Sementara itu Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland yang baharu, Datuk Zanariah Zainal Abidin berkelulusan Sarjana Dasar Awam dari Graduate School of International Politics, Jepun serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Aberystwyth University, Wales, United Kingdom.
Pada tahun 1995, beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar Negeri sejak 2021.
Sebelum ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Republik Indonesia, selain berkhidmat di pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Caracas, Republik Bolivar Venezuela dan Santiago, Republik Chile.
Beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Keselamatan Pelbagai Hala dan Pengarah di Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa di Kementerian Luar Negeri selain berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Wilayah dan Maritim, serta di Bahagian Ekonomi.