‘Suaro Kito, Jiwo Kito’ gegarkan Zepp KL Ogos ini

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Mengangkat tema “Suaro Kito, Jiwo Kito 100% Ori Kelate”, konsert Kelate ke KL 2026 tampil sebagai platform meraikan seni, budaya dan identiti Kelantan menerusi himpunan artis-artis popular negeri itu dalam satu acara berskala besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsert mega pada 29 Ogos di Zepp Kuala Lumpur, dijangka menarik peminat muzik Kelantan dan Pantai Timur dari seluruh negara.
  • Barisan artis popular termasuk Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella.
  • Penganjur janji pengisian budaya, penampilan khas dan beberapa kejutan eksklusif yang akan diumumkan kemudian.
  • Tiket rasmi akan dijual eksklusif di platform Illaso; pengumuman tarikh jualan dan maklumat lanjut akan diberi kemudian.

Konsert mega yang bakal berlangsung pada 29 Ogos depan di Zepp Kuala Lumpur itu dijangka menjadi fenomena hiburan Pantai Timur apabila menghimpunkan peminat muzik Kelantan dan Pantai Timur dari seluruh negara dalam satu malam penuh warna, nostalgia dan semangat kenegerian.

Antara nama yang bakal menghangatkan pentas ialah Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella. Kehadiran barisan artis tersebut dijangka menarik ribuan peminat ke ibu kota bagi menyaksikan persembahan eksklusif mereka.

Menurut Pengarah Projek Kelate ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar, penganjuran konsert itu bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah untuk meraikan identiti, seni dan budaya Kelantan di peringkat lebih luas.

“Kelate ke KL 2026 merupakan platform yang menyatukan anak-anak Kelantan serta pencinta muzik Pantai Timur dalam satu acara berprestij yang penuh dengan semangat kebersamaan,” katanya.

Selain persembahan artis utama, penganjur turut menjanjikan pelbagai pengisian menarik termasuk penampilan khas, elemen budaya dan beberapa kejutan eksklusif yang akan diumumkan dalam fasa seterusnya menjelang hari konsert.

Maklumat berkaitan penjualan tiket pula akan diumumkan dalam masa terdekat. Tiket rasmi akan dijual secara eksklusif menerusi platform Illaso, dengan tarikh jualan akan dimaklumkan kemudian.

Orang ramai disaran mengikuti saluran media sosial rasmi Kelate ke KL 2026 bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai konsert, termasuk pengumuman jualan tiket dan aktiviti sampingan yang bakal berlangsung.

Konsert Kelate ke KL 2026 dianjurkan oleh Natriya Enterprise dan Irama Entertainment, dengan sasaran untuk mengangkat lagi martabat hiburan serta warisan budaya Kelantan kepada khalayak yang lebih luas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.