Karnival HPM Edisi Melaka tarik lebih 50,000 pengunjung

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong meninjau gerai jualan usahawan tempatan di Karnival HPM Edisi Melaka./ KUSKOP

MELAKA, 22 Jun – Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Melaka melabuhkan tirainya dengan kejayaan menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 19 hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival menjadi platform memperkasa usahawan tempatan melalui padanan perniagaan, perkongsian ilmu, pameran, jualan produk dan khidmat nasihat agensi kerajaan.
  • Pelancaran Portal TEKUN Nasional menyediakan platform sehenti untuk permohonan pembiayaan dalam talian, semakan status, program latihan dan maklumat pejabat TEKUN.
  • Penyampaian cek kepada 16 usahawan melebihi RM4 juta; KUSKOP meluluskan RM92 juta untuk Melaka dan RM5 bilion di peringkat nasional.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menjadi platform memperkasa usahawan tempatan menerusi pelbagai program termasuk sesi padanan perniagaan bersama syarikat utama, perkongsian ilmu keusahawanan, pameran dan jualan produk usahawan serta khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan.

Majlis Perasmian Penutupan HPM Edisi Melaka disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

KUSKOP dalam satu hantaran di Facebook turut memaklumkan, pelancaran Portal TEKUN Nasional turut menjadi tumpuan pada penganjuran HPM. Ia merupakan sebuah platform digital sehenti yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, membuat permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan, mengakses program dan latihan keusahawanan serta mendapatkan maklumat pejabat TEKUN di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata pelancaran portal itu mencerminkan komitmen kementerian dalam merealisasikan strategi ABCD KUSKOP, khususnya teras Birokrasi Dipermudahkan bagi memastikan usahawan memperoleh akses kepada pembiayaan dan perkhidmatan kerajaan dengan lebih pantas, mudah serta mesra pengguna.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cek cura kepada 16 usahawan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan melebihi RM4 juta membabitkan pelbagai sektor perniagaan.

“Sehingga 31 Mei lalu, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka. Di peringkat nasional pula, sebanyak RM5 bilion pembiayaan diluluskan yang memberi manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara,” menurut kenyataan KUSKOP.

KUSKOP komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara menerusi inisiatif PowerUp10K yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing bagi memacu pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.