Polis rampas ketamin lebih RM5,000, dua suspek diberkas

Ketamin bernilai RM5,380 dirampas dalam dua serbuan polis di Kuching/Foto PDRM.

KUCHING, 21 June – Dua lelaki termasuk seorang remaja ditahan dalam dua serbuan berasingan berkaitan dadah di sekitar Kuching, Khamis lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan ketamin bernilai lebih RM5,000 oleh JSJN IPK Sarawak.
  • Serbuan menemukan 5.50 gram ketamin bernilai RM825; suspek ujian air kencing positif ketamin; disiasat Seksyen 39A(1).
  • Serbuan menemukan 30.37 gram ketamin bernilai RM4,555; suspek positif amphetamine, methamphetamine dan benzo; disiasat Seksyen 39A(2).

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu turut membawa kepada rampasan dadah disyaki ketamin bernilai lebih RM5,000.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Mabel, polis menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemukan 5.50 gram dadah disyaki ketamin bernilai RM825.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ketamin, manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan,” menurut hantaran di media sosial pada Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Jun bagi membantu siasatan.

Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Tabuan Jaya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 30.37 gram dadah disyaki ketamin bernilai RM4,555.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan benzo, manakala semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau,” tambah kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun bagi membantu siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.