
IPOH, 21 Jun – Polis mengesahkan setakat ini tiada sebarang laporan jenayah atau kes kecurian diterima di kawasan yang terjejas akibat ribut di Bercham, di sini.
- Polis meningkatkan pemantauan berterusan dan rondaan malam bagi memastikan kawasan bencana kekal terkawal.
- 492 laporan diterima; 373 melibatkan kawasan terjejas, 119 di luar kawasan bencana.
- Bekalan elektrik di kebanyakan kawasan terjejas hampir pulih sepenuhnya.
- Mangsa diminta mendaftar atau membuat laporan polis bagi memudahkan rekod dan penyaluran bantuan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, keadaan di kawasan bencana kekal terkawal hasil pemantauan berterusan polis.
Beliau berkata, polis sentiasa meningkatkan rondaan terutama pada waktu malam bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk kecurian harta benda penduduk.
“Alhamdulillah setakat ini tiada laporan kejadian jenayah atau barang yang dicuri diterima. Pada waktu malam memang kita akan buat pemantauan kerana bimbang ada pihak mengambil kesempatan ketika penduduk sedang mengemas atau meninggalkan rumah sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bercham, hari ini.
Setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 492 laporan polis diterima, dengan 373 daripadanya melibatkan kawasan yang terjejas akibat ribut.
Manakala 119 lagi membabitkan kes di luar kawasan bencana.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata bekalan elektrik di kebanyakan kawasan yang terjejas hampir pulih sepenuhnya.
Beliau turut meminta mangsa yang masih belum membuat pendaftaran atau laporan polis supaya berbuat demikian bagi memudahkan urusan rekod serta penyaluran bantuan lanjut.