
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 menandakan satu sejarah baharu dalam reformasi institusi Parlimen di Malaysia.
- Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 mengembalikan autonomi pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal dalaman institusi Parlimen.
- Tindak lanjut termasuk penubuhan Majlis Perkhidmatan sebagai badan pelaksana; proses dijangka selesai pada Disember selepas kelulusan Dewan Negara.
- Majlis akan mengawasi pelaksanaan akta, perkhidmatan pegawai, laluan kerjaya dan peruntukan lain yang termaktub.
- Penguatkuasaan bukan pemisahan Parlimen daripada kerajaan tetapi memperkasakan peranan Parlimen sebagai institusi perwakilan rakyat utama.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata penguatkuasaan akta berkenaan mengembalikan autonomi pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal dalaman institusi legislatif negara.
“Apa yang akan berlaku ialah follow-up proses untuk pelaksanaan di antara yang telah pun disediakan oleh pihak pentadbiran untuk mewujudkan Majlis Perkhidmatan itu sendiri dan insya-Allah akan berlaku di Disember ini, selepas usul Dewan Negara diluluskan.
“Kemudian, Majlis inilah yang akan bertindak sebagai satu badan yang akan mengawasi apa juga yang termaktub dalam akta ini, termasuklah perkhidmatan pegawai-pegawai kita, laluan karier mereka dan juga apa juga yang termaktub itu”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen.
Tan Sri Dr Johari turut menjelaskan penguatkuasaan ini tidak menjurus kepada pemisahan Parlimen daripada kerajaan, sebaliknya bagi memperkasakan peranan Parlimen sebagai institusi perwakilan rakyat yang utama.