Amanah Raya terbuka bekerjasama dengan entiti komersial demi manfaat masyarakat

Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Jack Yap Ngee Heong menghadiri majlis pelancaran produk perlindungan Gen Sinar./ RTM

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Amanah Raya Berhad terbuka untuk bekerjasama dengan lebih banyak entiti komersial yang mempunyai matlamat sejajar dalam aspek kemampanan, keterangkuman dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amanah Raya dilantik sebagai pemegang amanah bagi pembayaran bulanan elaun pendidikan untuk pemegang polisi Gen Sinar.
  • Gen Sinar menyediakan perlindungan kewangan jika berlaku kemalangan atau hilang upaya kekal, memastikan anak meneruskan pendidikan.
  • Pelantikan itu mencerminkan keyakinan terhadap peranan Amanah Raya sebagai pemegang amanah awam tunggal di Malaysia.
  • Generali menyatakan kerjasama dengan pihak berpengalaman diperlukan; kajian memilih Amanah Raya sebagai rakan yang sesuai.

Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Jack Yap Ngee Heong berkata, pihaknya tidak terikat dengan hanya satu entiti sahaja sebaliknya bersedia selagi ia memberi manfaat kepada semua pihak.

“Bukan soal kami memilih atau menolak mana-mana pihak. Sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat yang sama, khususnya dalam aspek kemampanan dan keterangkuman rakyat, kami boleh melihat potensi kerjasama bagi memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Jadi jawapannya adalah ya, terdapat kemungkinan untuk kerjasama-kerjasama lain pada masa hadapan,” katanya selepas majlis pelancaran produk perlindungan Gen Sinar oleh Generali Insurance Malaysia Berhad, di sini hari ini.

Produk Gen Sinar direka bagi menyediakan perlindungan kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau hilang upaya kekal kepada pencari nafkah bagi memastikan anak-anak dapat meneruskan pendidikan.

Amanah Raya merupakan pemegang amanah yang bertanggungjawab menguruskan pembayaran bulanan Elaun Pendidikan kepada keluarga pemegang polisi perlindungan itu.

Jack Yap berkata, pelantikan Amanah Raya sebagai pemegang amanah bagi produk itu mencerminkan keyakinan pihak berkaitan terhadap peranan syarikat itu sebagai pemegang amanah awam tunggal di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia, Fabrice Bernard berkata, melihat kepada keperluan produk berkaitan pendidikan kanak-kanak dalam jangka masa panjang, kerjasama dengan pihak berpengalaman adalah sesuatu yang sangat diperlukan.

“Apabila kajian dijalankan, Amanah Raya dirasakan paling sesuai dan kami berbesar hati kerana mereka cepat menerima dan menyambut baik idea projek ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.