Hayati semangat hijrah Nabi Muhammad bina kesatuan ummah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 17 Jun — Semangat hijrah Rasulullah SAW perlu terus dihidupkan dalam usaha membina masyarakat berilmu dan berakhlak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hidupkan semangat hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat berilmu dan berakhlak, selari tema 'MADANI Dihayati, Ummah Diberkati'.
  • Jadikan masjid dan surau sebagai pusat perkembangan tamadun Islam serta platform pendidikan, pengalaman dan inspirasi untuk pembangunan ummah.
  • Sambutan Maal Hijrah meneruskan program seperti Syarahan Perdana bagi memperkasa ilmu dan menyemai nilai kebersamaan dalam masyarakat.

Beliau berkata, usaha itu termasuk menjadikan masjid serta surau sebagai pusat perkembangan ketamadunan Islam.

“Mesaj yang ingin kita sampaikan selari dengan tema ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’ adalah untuk membangkitkan semula semangat penghayatan terhadap hijrah Rasulullah SAW daripada Makkah ke Madinah al-Munawwarah yang membina tamadun baharu dan mengubah landskap sejarah tamadun manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Masjid Putra hari ini.

Menurutnya, sambutan Maal Hijrah tahun ini akan diteruskan dengan penganjuran Majlis Syarahan Perdana bersama penerima Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya esok.

Katanya, program itu akan menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan inspirasi oleh kedua-dua tokoh berkenaan menerusi sumbangan serta kepakaran mereka dalam pembangunan ummah.

Dijangka hampir 5,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.