
KLUANG, 17 Jun – Jenazah seorang lagi anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terkorban dalam insiden letupan grenad ketika latihan di Kem Hobart, Gurun, Kedah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Lambak, di sini, pada pukul 1.15 tengah hari tadi.
- Dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ketenteraan selepas disolatkan di Masjid Nurul Iman.
- Lebih 300 orang hadir memberikan penghormatan terakhir walaupun majlis berlangsung dalam hujan renyai.
- Panglima 7 Briged menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham sebagai simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanannya.
- Allahyarham antara dua anggota terkorban dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad; Panglima Tentera Darat mengarahkan siasatan terperinci.
Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ketenteraan selepas disolatkan di Masjid Nurul Iman, Taman Seri Lambak.
Lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan, anggota tentera dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham walaupun dalam keadaan hujan renyai.
Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian apabila Panglima 7 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Zulhelmi Masdar menyerahkan Jalur Gemilang yang menyelubungi keranda Allahyarhamah kepada bapa Allahyarham, Sungip Jais, 65 tahun, sebagai simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanannya.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada kira-kira pukul 3 pagi selepas selesai proses bedah siasat.
Allahyarham merupakan antara dua anggota TDM yang terkorban dalam insiden letupan ketika Latihan Membaling Grenad yang merupakan sebahagian daripada Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Lapang Sasar Kem Hobart, pagi semalam.
Seorang lagi mangsa yang terkorban ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat letupan berkenaan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman sebelum ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian kedua-dua anggota berkenaan serta mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.