DBKL buka permohonan perubahan PTKL2040, kenal pasti Garis Panduan Baharu Pembangunan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengumumkan pembukaan permohonan bagi perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) serta penguatkuasaan Garis Panduan Insentif Pelaksanaan Pembangunan Semula Kuala Lumpur yang baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PTKL2040 adalah dokumen statutori yang menerjemah hala tuju Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.
  • Perubahan memberi tumpuan kepada semakan zon guna tanah, intensiti pembangunan dan parameter kawalan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.
  • Pemunya tanah, pemaju atau pihak awam mesti hantar Surat Niat lengkap dengan justifikasi, pelan lokasi dan dokumen hak milik.
  • Garis panduan insentif pembangunan semula dikemaskini menggantikan 2021 dan 2023; dokumen boleh dimuat turun di laman DBKL.

Langkah dinamik ini bagi mendepani cabaran ekonomi antarabangsa dan menyelaras dasar semasa perancangan bandar secara mampan di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud menyatakan bahawa PTKL2040 merupakan dokumen statutori utama yang menterjemahkan hala tuju strategik Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

“Dokumen yang diwartakan pada 28 Mei tahun lalu itu menjadi rujukan utama kawalan pembangunan spatial bandar.

Pelaksanaan perubahan ini bertujuan memfokuskan mekanisme perancangan menyeluruh bagi membolehkan semakan semula zon guna tanah, intensiti pembangunan dan parameter kawalan dilaksanakan secara sistematik di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pemunya tanah berdaftar, pemaju atau pihak awam yang berhasrat mengemukakan permohonan perubahan syarat PTKL2040 diminta menghantar Surat Niat (Letter of Intent) dengan kadar segera.

“Surat tersebut mestilah mengandungi justifikasi perubahan, pelan lokasi atau pelan tapak yang jelas serta dokumen hak milik tanah terkini,” ujarnya.

Semua dokumen sokongan perlu diserahkan kepada Jabatan Perancangan Bandaraya (JPRB) DBKL sebelum atau pada 10 Julai 2026, pukul 5:00 petang.

Pemohon kemudiannya akan diarahkan untuk melantik Perancang Bandar Berdaftar bagi menyediakan Laporan Cadangan Perubahan Pelan Tempatan (LCPPT).

Manual penyediaan laporan berkenaan boleh diakses melalui laman sesawang Pelan Pembangunan Kuala Lumpur (dbkl.gov.my) bermula hari ini.

Dalam perkembangan sama, DBKL turut menambah baik ketetapan insentif pembangunan semula sedia ada menerusi pengenalan Garis Panduan Insentif Pelaksanaan Pembangunan Semula Kuala Lumpur yang baharu bagi menggantikan panduan tahun 2021 dan 2023.

Penambahbaikan tersebut sejajar trend pembangunan semasa bagi memastikan proses pembangunan semula ibu kota berjalan dengan lebih teratur, telus dan mudah difahami oleh semua pihak berkepentingan.

Dokumen garis panduan baharu ini mula berkuat kuasa hari ini dan boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi DBKL.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.