
BENTONG, 14 Jun – Pemandu treler yang terlibat dalam nahas mengorbankan empat orang di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Bentong petang tadi, dikesan mempunyai 15 rekod saman trafik.
- Empat ahli keluarga maut selepas kereta mereka dihempap treler yang hilang kawalan dan terbalik.
- Mayat semua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk bedah siasat esok.
- Sampel darah pemandu diambil untuk analisis toksikologi bagi membantu siasatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; siasatan lanjut dijalankan untuk kenal pasti punca.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata sampel darah lelaki berusia 40 tahun itu turut diambil untuk analisis toksikologi bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pemandu lori tersebut turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul serta sedang menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti punca kejadian secara keseluruhan”, katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang tadi, empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler yang hilang kawalan dan terbalik.
Siasatan awal mendapati lori treler yang dipandu lelaki tempatan itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan menuruni bukit dan selekoh di lokasi kejadian.
“Lori tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan dan menghempap sebuah Honda City yang berada di lorong kiri.
“Akibat kejadian itu, pemandu kereta bersama tiga penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat semua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk bedah siasat yang dijadualkan esok”, katanya.