
SEREMBAN, 14 Jun – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak tiri lelakinya yang berusia dua tahun, di sini pada Sabtu.
- Kejadian berlaku dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu.
- Mangsa dikatakan sering dipukul oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai penghantar barangan.
- Pemeriksaan fizikal menunjukkan lebam kemerahan pada hadapan dan belakang badan; kanak-kanak sedang menerima rawatan di hospital.
- Pasangan terbabit baru berkahwin pada April; suspek tiada rekod jenayah dan ujian air kencing awal negatif.
Ketua Polis Daerah Seremban Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Yatim Osman dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian daripada ibu kandung mangsa pada 8.30 malam, sebelum lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah hospital, kira-kira dua jam kemudian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam sebuah kereta dinaiki mangsa bersama ibunya yang berusia lingkungan 20-an dan bapa tirinya di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu.
“Selain itu, mangsa didapati sering dipukul oleh lelaki yang bekerja sebagai penghantar barangan itu sehingga cedera ketika berada di rumah keluarga terbabit di Jalan Rasah, di sini,” menurut kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa, terdapat kesan lebam kemerahan di bahagian hadapan dan belakang badan dipercayai akibat dicubit dan kanak-kanak itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan.
Pasangan terbabit baru mendirikan rumah tangga pada April lepas dan semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan awal air kencing juga negatif.
Lelaki itu direman selama tujuh hari hingga 20 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.