Polis tahan dua pasang suami isteri disyaki dera pembantu rumah

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU, 14 Jun – Dua pasang suami isteri ditahan polis di kawasan Johor Bahru, Johor, pada Sabtu, selepas video mereka dipercayai memukul pembantu rumah warga Indonesia tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku pada Julai 2025, namun rakaman video mula ditularkan hanya baru-baru ini.
  • Empat suspek berusia 30 hingga 34 tahun ditahan JSJ dan IPD Johor Bahru Utara di sebuah rumah di Taman Johor, Tampoi.
  • Tiga pembantu rumah sekitar 20-an dipercayai melarikan diri tetapi masih berada dalam negara; rakaman dipercayai dibuat salah seorang mangsa.
  • Telefon bimbit, pakaian, CCTV dan dua pasport dirampas; suspek negatif dadah, tiada rekod lampau dan direman sehari; kes disiasat mengikut beberapa seksyen.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sebuah rumah di Taman Johor dekat Tampoi, di sini pada 7.30 malam.

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua pasangan itu tinggal serumah manakala suspek wanita adalah adik-beradik.

“Kejadian yang tular itu sebenarnya berlaku pada Julai 2025. Namun, video berkenaan hanya mula ditularkan pada Sabtu.

“Kejadian tersebut berlaku di Taman Johor, Johor Bahru Utara, dan motif kejadian memukul itu masih dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini.

Ketiga-tiga pembantu rumah berusia sekitar 20-an itu dipercayai melarikan diri namun masih berada di negara ini dan rakaman video tular tersebut juga dipercayai dibuat salah seorang mangsa.

Turut dirampas telefon bimbit, pakaian suspek, satu kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport pembantu rumah berkenaan, manakala kesemua suspek yang didapati negatif dadah serta tiada rekod lampau direman sehari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.