SSM perkasa pengetahuan korporat melalui InfoSession 2026 Zon Tengah

Foto ihsan FB Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Laman Rasmi)

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus memperkukuh kefahaman komuniti perniagaan dan korporat terhadap produk, perkhidmatan serta aspek pematuhan menerusi penganjuran Program SSM InfoSession 2026 Zon Tengah (Selangor).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menghimpunkan lebih 250 peserta termasuk wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti perniagaan korporat.
  • Nor Azimah kata program platform penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan SSM dalam menyediakan maklumat korporat telus dan dipercayai.
  • Peserta didedahkan kepada perkhidmatan digital SSM termasuk MyData-SSM, SSM Search, SafeData SSM dan SSM e-Info untuk akses data perniagaan sah.
  • Sehingga 31 Mei 2026, 1.67 juta syarikat, 9.84 juta perniagaan dan 46,535 PLT didaftarkan di seluruh negara.

Program yang berlangsung baru-baru ini, menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta komuniti perniagaan dan korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, program berkenaan merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan SSM dalam menyediakan maklumat korporat yang telus dan dipercayai.

“SSM akan terus mempromosi amalan memperkukuh tadbir urus serta mempertingkat literasi pematuhan di semua peringkat komuniti perniagaan dan korporat di negara ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Program SSM InfoSession 2026 Zon Tengah, di Subang baru-baru ini.

Selain taklimat berkaitan pembekalan maklumat korporat dan skim kepentingan, peserta turut didedahkan kepada pelbagai perkhidmatan digital yang ditawarkan SSM, antaranya MyData-SSM, SSM Search, SafeData SSM dan SSM e-Info yang membolehkan pengguna mendapatkan akses kepada maklumat dan data perniagaan yang sah serta terkini.

Program itu merupakan siri kedua SSM InfoSession bagi tahun 2026 selepas penganjuran siri pertama di Sarawak pada Mei lalu.

Pada tahun 2025, SSM turut menganjurkan dua sesi serupa di Pulau Pinang dan Johor dengan jumlah penyertaan melebihi 400 peserta.

Untuk rekod, sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 1.67 juta syarikat, 9.84 juta perniagaan dan 46,535 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah didaftarkan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 717,465 syarikat, 1.69 juta perniagaan dan 40,536 PLT masih aktif.

Bagi Selangor, sebanyak 415,586 syarikat, 2.49 juta perniagaan dan 18,676 PLT telah didaftarkan, dengan 196,238 syarikat, 440,196 perniagaan dan 16,188 PLT masih aktif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.