Malaysia kongsi formula keharmonian masyarakat majmuk di pentas antarabangsa – PM


KUALA LUMPUR, 12 Jun – Malaysia berkongsi pengalaman mengurus masyarakat majmuk berasaskan prinsip saling menghormati, kesederhanaan dan persefahaman sebagai asas penting dalam menjamin kestabilan serta kemajuan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keharmonian dipupuk melalui toleransi, penghormatan terhadap kepelbagaian serta pengukuhan nilai, adab dan tradisi keilmuan.
  • Memperkasa tradisi ilmu dan pendidikan kontemporari untuk membina masyarakat berilmu, berakhlak dan mampu menghadapi cabaran global.
  • Menangani sentimen perkauman serta kebencian melalui kesabaran, kebijaksanaan, akhlak dan inisiatif positif seperti pengedaran al-Quran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman Malaysia sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa dan agama menunjukkan keharmonian dapat dipupuk menerusi sikap toleransi serta penghormatan terhadap kepelbagaian.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan dengan pemimpin agama serta cendekiawan dari pelbagai negara di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, petang tadi.

Menurut beliau, mengurus masyarakat majmuk bukan tugas mudah kerana sering berdepan pelbagai cabaran dan perbezaan pandangan.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menekankan kepentingan nilai, adab dan tradisi keilmuan yang diwariskan oleh ulama serta agamawan dalam membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak.

Katanya, tradisi ilmu yang berteraskan warisan klasik dan pendekatan semasa perlu terus diperkasakan bagi membantu masyarakat menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Beliau juga menerima pelbagai pandangan dan maklum balas berkaitan usaha memperluas pendidikan, memperkukuh kefahaman Islam serta membangunkan masyarakat yang berteraskan ilmu dan nilai kemanusiaan.

Menurutnya, Malaysia bersedia meneroka peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat antarabangsa.

Dalam sesi dialog yang sama, beliau menjelaskan bahawa meskipun Malaysia sering dijadikan contoh keharmonian dalam masyarakat majmuk, negara ini tetap berdepan cabaran seperti sentimen perkauman, kebencian berasaskan agama dan bangsa serta pelbagai usaha yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

Beliau berkata pendekatan terbaik dalam menangani kebencian ialah melalui kesabaran, kebijaksanaan dan akhlak yang baik.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia memilih pendekatan positif susulan insiden pembakaran al-Quran dengan memperluas usaha mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam pelbagai bahasa.

Datuk Seri Anwar berharap usaha seumpama itu dapat terus menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman antara masyarakat serta menampilkan Islam sebagai agama yang membawa rahmah, keadilan dan ihsan kepada seluruh umat manusia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.