Bersedia hadapi El Nino berpanjangan hingga awal 2027

Fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun 2027 – Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr Fredolin Tangang

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Orang ramai dinasihatkan supaya bersedia menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun 2027 dan berpotensi membawa kepada cuaca lebih kering serta berpanjangan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • El Nino dijangka menyebabkan kemarau, gelombang haba, risiko kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
  • Kesan akan memberi tekanan kepada sumber air, kesihatan awam, pertanian dan sektor pelancongan.
  • Orang ramai perlu peka dan sentiasa mengikuti maklumat ramalan cuaca serta arahan pihak berkuasa untuk mengurangkan risiko.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata, keadaan itu dijangka memberi kesan ketara kepada rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia yang berisiko berdepan kemarau dan gelombang haba.

Beliau berkata fenomena tersebut dijangka berterusan sepanjang tahun 2026 sebelum mula melemah sekitar April atau Mei tahun 2027 dan kembali kepada keadaan normal selepas itu.

“Apa yang diramalkan, El Nino akan terus berlarutan sepanjang tahun 2026 sehingga awal 2027 dan pada bulan April atau Mei tahun depan akan mula melemah serta kembali kepada normal.

“Sepanjang tempoh ini, Asia Tenggara termasuk Malaysia akan mengalami bencana iklim terutama kemarau. Kemudian gelombang haba ini juga berisiko mencetuskan kebakaran hutan yang boleh membawa kepada kejadian jerebu rentas sempadan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata kesan fenomena itu juga dijangka memberi tekanan kepada beberapa sektor utama termasuk sumber air, kesihatan awam, pertanian serta pelancongan.

“Negara mungkin berdepan masalah sumber air disebabkan kemarau berpanjangan, selain masalah kesihatan akibat jerebu. Sektor pertanian dan pelancongan juga berkemungkinan terjejas,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan mengikuti maklumat ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kesan fenomena tersebut.

Fenomena El Nino lazimnya dikaitkan dengan peningkatan suhu global dan taburan hujan tidak menentu yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan harian serta ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.