
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Rukun Negara kekal relevan sebagai panduan utama dalam membantu Malaysia mengurus kepelbagaian serta mendepani cabaran yang semakin meningkat akibat polarisasi, ekstremisme dan penyebaran maklumat palsu, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
- Rukun Negara berperanan sebagai kerangka hidup memperkukuh perpaduan sosial dan daya tahan masyarakat berbilang agama serta budaya.
- Rukun Negara menyediakan kompas moral bersama berdasarkan prinsip kepercayaan, kesetiaan, keadilan, kedaulatan undang-undang dan nilai moral.
- Lima prinsip utama: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan.
- Malaysia komited berkongsi pengalaman mengurus kepelbagaian, mengutamakan dialog, kefahaman dan perpaduan sebagai penyelesaian kepada konflik.
Berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ke-3 di sini hari ini, beliau berkata falsafah kebangsaan itu terus berperanan sebagai kerangka hidup dalam memperkukuh perpaduan sosial dan daya tahan masyarakat Malaysia yang berbilang agama serta budaya.
“Dalam dunia yang menyaksikan polarisasi, ekstremisme dan maklumat palsu sering mengeksploitasi agama serta identiti, Rukun Negara menyediakan kompas moral bersama kepada rakyat Malaysia berasaskan prinsip kepercayaan, kesetiaan, keadilan, kedaulatan undang-undang dan nilai moral,” katanya.
Jelasnya, komitmen Malaysia terhadap perpaduan berteraskan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 1970 lahir selepas negara melalui satu tempoh yang mencabar dalam sejarahnya.
Rukun Negara dibina berasaskan lima prinsip utama, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Falsafah itu membantu Malaysia mengelakkan kesan buruk perpecahan meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk perubahan politik, jurang ekonomi dan peningkatan sikap tidak bertoleransi di peringkat global.
Datuk Aaron berkata pelbagai kajian dan tinjauan secara konsisten menunjukkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang masih melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan serta mempercayai penganut agama lain sebagai jiran, rakan sekerja dan sahabat.
Beliau memaklumkan, prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, amat penting kerana menegaskan bahawa keimanan dalam pelbagai bentuk menjadi faktor penyatuan yang menyediakan panduan moral, memupuk sifat rendah diri dan menghormati martabat kehidupan.
“Ia mengingatkan rakyat Malaysia bahawa walaupun kita menganut agama yang berbeza, pengiktirafan terhadap kewujudan Yang Maha Kuasa menyatukan kita melalui nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama,” katanya.
Malaysia kekal komited untuk berkongsi pengalaman dalam mengurus kepelbagaian dan memupuk kehidupan bersama secara aman dengan masyarakat antarabangsa.
“Mesej Malaysia kepada komuniti global jelas, iaitu kehidupan bersama secara aman mampu direalisasikan apabila masyarakat memilih dialog berbanding perpecahan, kefahaman berbanding prasangka dan perpaduan berbanding konflik,” katanya. – BERNAMA