Pemimpin agama perlu jadi suara nurani dunia, benteng belia daripada budaya keganasan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Pemimpin agama di seluruh dunia perlu terus memainkan peranan sebagai suara nurani global dalam mempertahankan nilai kemanusiaan yang semakin terhakis akibat konflik, peperangan dan krisis moral.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin agama mesti menyampaikan mesej kewarasan, kesabaran dan toleransi bagi menangani cabaran moral dunia
  • Peranan aktif diperlukan untuk membimbing belia yang terdedah kepada kandungan keganasan melalui pelbagai platform media
  • Perkukuhkan dialog antara agama dan budaya untuk membentuk generasi menghormati kepelbagaian dan menolak kebencian serta keganasan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan dunia yang semakin mencabar menuntut peranan lebih besar daripada pemimpin agama untuk membawa mesej kewarasan, kesabaran dan toleransi dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

“Berbekalkan sedikit pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, saya berpendapat bahawa peranan pemimpin agama kekal lebih relevan berbanding sebelum ini. Anda mewakili suara hati nurani, kewarasan, kesabaran dan toleransi, sesuatu yang semakin berkurangan di dunia hari ini,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, pemimpin agama juga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing generasi muda yang semakin terdedah kepada paparan keganasan dan konflik melalui pelbagai platform media.

Menurutnya, pendedahan berterusan kepada kandungan berunsur keganasan berisiko menormalisasikan perlakuan tersebut sekali gus menghakis nilai kemanusiaan dalam kalangan belia.

“Anak-anak dan belia kita didedahkan dengan adegan-adegan rogol, kemusnahan dan penghinaan yang memualkan, menghilangkan nilai kemanusiaan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa dialog antara agama dan budaya perlu terus diperkasakan bagi membentuk generasi muda yang lebih menghormati kepelbagaian serta menolak budaya kebencian dan keganasan.

Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan pemimpin agama dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan institusi keagamaan dalam menangani cabaran global termasuk konflik, ekstremisme dan kemerosotan nilai moral masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.