
pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini / Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Malaysia boleh dijadikan model kewujudan bersama masyarakat majmuk yang berjaya menerusi pendekatan berteraskan keadilan, saling menghormati dan perlindungan terhadap hak setiap rakyat.
- Walaupun Islam agama Persekutuan, negara memastikan setiap warganegara dari semua agama berasa selamat dan dilindungi secara adil.
- Pelaksanaan hak dan tanggungjawab dilakukan dengan penuh rasa hormat dan takzim untuk menjamin keselamatan setiap ahli masyarakat.
- Agama tidak wajar disalahgunakan untuk mencetuskan ketegangan atau perpecahan; ia sepatutnya mengukuhkan kedamaian dan kesepaduan.
- Kekuatan negara terletak pada kemampuan mengurus perbezaan secara adil, dengan dasar inklusif menghormati kepelbagaian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Islam merupakan agama Persekutuan, Malaysia tetap memastikan setiap warganegara tanpa mengira agama dan kaum berasa selamat serta dilindungi secara adil.
“Kami melaksanakan hak dan tanggungjawab kami dengan penuh rasa hormat dan takzim untuk memastikan setiap ahli masyarakat kami, setiap warganegara, berasa selamat, dilindungi secara adil,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan rakyat pelbagai agama hidup dalam suasana aman dan harmoni sekali gus menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada masyarakat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa agama tidak seharusnya disalahgunakan untuk mencetuskan ketegangan atau perpecahan dalam masyarakat.
“Agama yang sepatutnya menjadi sumber kedamaian, ketenangan, kemakmuran dan kesepaduan sering dipolitikkan dan dimanipulasi untuk menyemarakkan permusuhan,” katanya.
Beliau berkata kekuatan sesebuah negara tidak terletak pada keseragaman, sebaliknya pada kemampuan mengurus perbezaan secara adil dan saksama bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Malaysia, katanya, terus komited memperkukuh perpaduan nasional melalui dasar yang menekankan inklusiviti serta penghormatan terhadap kepelbagaian masyarakat majmuk.