Kerajaan percepat pewartaan kawasan hijau di ibu negara

Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kerajaan akan mempercepatkan pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir di ibu negara bagi memastikan aset strategik tersebut terus dilindungi daripada sebarang pembangunan pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mempercepat pewartaan kawasan hijau dan infrastruktur pengurusan banjir di ibu negara.
  • DBKL membina kolam takungan air bawah tanah dan on-site detention pond untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar span yang menyerap air hujan.
  • Prosedur dipermudah membolehkan pewartaan lebih pantas tanpa menunggu pelan ukur lengkap; keutamaan untuk kawasan lapang lebih satu ekar sebagai taman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, dua pasukan petugas khas telah ditubuhkan khusus untuk mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan infrastruktur berkaitan pengurusan banjir di ibu negara.

“Ia bagi memastikan tapak-tapak infrastruktur seperti ini tidak lagi akan dijual kepada pemaju. Kawasan hijau ataupun kolam takungan banjir memandangkan ia memainkan peranan penting dalam ekosistem Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri sesi taklimat Projek CSR Penaiktarafan Laluan Belakang (Backlane Upgrading Works) di Desa Sri Hartamas di sini hari ini.

Menurut Hannah, pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir penting bagi memastikan tapak berkenaan tidak mudah ditukar guna atau dibangunkan pada masa hadapan kerana ia memainkan peranan besar dalam ekosistem bandar dan pengurusan risiko banjir.

DBKL juga sedang melaksanakan pembinaan kolam takungan air bawah tanah atau on-site detention pond di beberapa lokasi strategik sebagai sebahagian usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah “bandar span” atau sponge city yang mampu menyerap dan menakung lebih banyak air hujan.

Selain menambah kapasiti takungan air, kerajaan turut memberi penekanan kepada penyediaan kawasan hijau yang lebih bermakna dan boleh dimanfaatkan masyarakat menerusi kemudahan seperti trek joging dan ruang rekreasi awam.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud memaklumkan proses pewartaan kini dapat dilaksanakan dengan lebih pantas selepas penambahbaikan prosedur yang membolehkan kawasan terlibat diwartakan lebih awal tanpa perlu menunggu pelan ukur lengkap disediakan.

Katanya, keutamaan diberikan kepada kawasan lapang melebihi satu ekar yang dikategorikan sebagai taman bandaran sebelum dibangunkan sebagai kemudahan rekreasi asas untuk kegunaan penduduk.

Usaha berterusan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu proses pewartaan kawasan hijau dan aset mitigasi banjir di Kuala Lumpur dipercepatkan demi menjamin kelestarian bandar serta kesejahteraan warga kota.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.