Piala Dunia: Afrika Selatan tidak gentar dengan sorakan padu penyokong tuan rumah

Foto REUTERS

MEXICO CITY, 11 Jun – Pengendali Afrika Selatan, Hugo Broos, mencabar barisan pemainnya untuk mengekalkan fokus selain tidak gentar berhadapan dengan sorakan gempita yang bakal dicetuskan oleh lebih 85,000 penyokong tegar Mexico menjelang aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia, Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Broos anggap Mexico pilihan Kumpulan A selepas rekod kemenangan dalam 10 perlawanan sebelum ini.
  • Pengendali itu mengkritik format 48 pasukan, mengatakan kejohanan kini lebih meletihkan kerana jadual perjalanan jauh.
  • Jurulatih Mexico, Javier Aguirre, berazam memecah rekod tanpa kemenangan dalam tujuh aksi pembukaan Piala Dunia.

Broos menyifatkan keupayaan menyisihkan sorakan di Stadium Estadio Azteca yang ikonik itu sebagai kunci utama sekiranya skuad Bafana Bafana mahu menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.

“Akan ada kehadiran penyokong yang amat besar dan pastinya tidak banyak sokongan untuk Afrika Selatan di sana. Situasi itu sudah tentu memberikan kelebihan yang sangat besar kepada Mexico.

“Mereka akan disemarakkan oleh 85,000 rakyat Mexico yang bersorak dan menyanyi. Namun, kami perlu fokus kepada corak permainan sendiri. Jika kami mampu melakukannya dan tidak terlalu terpengaruh dengan suasana itu, kami mampu menjelmakan aksi yang baik,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Bagi Broos, 74, perlawanan berkenaan amat menggamit emosi memandangkan bekas pemain antarabangsa Belgium itu pernah merasai sendiri kehangatan atmosfera luar biasa di stadium berkenaan ketika menentang Mexico pada edisi Piala Dunia 1986.

Broos turut menyifatkan Mexico atau dijuluki sebagai “El Tri” sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan A, bersandarkan reputasi cemerlang yang dicatatkan pasukan berkenaan yang mencatatkan kemenangan dalam 10 perlawanan sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Broos secara terbuka mengkritik format baharu Piala Dunia yang kini diperluaskan kepada 48 pasukan, yang disifatkannya sebagai lebih memenatkan ekoran jadual perjalanan yang jauh termasuk ke Atlanta dan Monterrey.

“Ia agak terlalu besar apabila melibatkan 48 buah negara. Empat dekad lalu, kejohanan ini hanya dianjurkan di Mexico, tetapi sekarang adalah zaman moden dan kami terpaksa menyesuaikan diri walaupun ia lebih meletihkan,” katanya.

Sementara itu, pengendali Mexico, Javier Aguirre, 67, yang juga pernah beraksi di laman sendiri pada edisi 1986, bertekad untuk mencipta sejarah memandangkan Mexico dilaporkan tidak pernah mencatatkan kemenangan dalam tujuh aksi pembukaan Piala Dunia sebelum ini.

“Kami mahu meleburkan statistik berkenaan. Saya akan berkongsi fakta ini dengan barisan pemain sebagai sumber motivasi tambahan untuk mereka memburu mata penuh esok,” tegas Aguirre.

Selepas berdepan Mexico, Afrika Selatan dijadualkan menentang Korea Selatan dan Republik Czech bagi baki saingan dalam Kumpulan A. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.