
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos – Kontinjen Terengganu menyasarkan kutipan antara 60 hingga 65 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
- Kontinjen Terengganu yakin capai sasaran 61 pingat emas.
- Seramai 799 atlet dan pegawai akan bertanding, menyertai 35 daripada 37 sukan.
- Kontinjen terdiri daripada 358 atlet lelaki, 242 atlet wanita dan 199 pegawai pasukan.
- Slogan "Terengganu Nelang" diperkenalkan sebagai pembakar semangat atlet SUKMA Selangor 2026.
Sasaran itu, sekali gus memastikan Terengganu berada dalam kelompok tiga kontinjen terbaik keseluruhan.
Ketua Kontinjen SUKMA Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, seramai 799 atlet dan pegawai akan membawa cabaran pada temasya berkenaan, melibatkan penyertaan dalam 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Keseluruhannya, kontinjen Terengganu terdiri daripada 358 atlet lelaki dan 242 atlet wanita, selain 199 pegawai pasukan.
“Sasaran yang kita tetapkan pada saya adalah sasaran yang realistik, namun kita yakin sasaran kutipan 61 pingat emas adalah sasaran yang boleh kita capai,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya.
Pada majlis itu, slogan “Terengganu Nelang” turut diperkenalkan sebagai pembakar semangat atlet yang bakal bertanding dalam temasya SUKMA Selangor 2026.