
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang dilaksanakan kerajaan antara langkah progresif dalam memodenkan perkhidmatan awam, dengan kejayaannya bergantung kepada prestasi, akauntabiliti dan integriti penjawat awam.
- HBH adalah pendekatan kerja fleksibel berorientasikan hasil, bukan cuti tambahan atau kerja santai.
- Kejayaan bergantung pada kualiti hasil kerja, bukan lokasi fizikal pekerja.
- Mengurangkan kesesakan jalan raya, kos perjalanan dan pelepasan karbon.
- Pelaksanaan perlu berdasarkan skop dan jenis pekerjaan untuk menjaga produktiviti dan kesejahteraan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr. Samsul Farid Samsuddin berkata, konsep tersebut tidak harus dilihat sebagai cuti tambahan atau bekerja secara santai, sebaliknya ia pendekatan kerja yang lebih fleksibel serta berorientasikan hasil.
“kejayaan bekerja secara hybrid ini bukan bergantung kepada lokasi seseorang pekerja, tapi bergantung kepada kualiti hasil kerja yang mereka hasilkan” katanya ketika dihubungi berita RTM.
Tambah Dr. Samsul Farid, pelaksanaan HBH yang bermula 1 Ogos lalu turut selari dengan amalan di beberapa negara maju.
Selain meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan penjawat awam, HBH turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, kos perjalanan serta pelepasan karbon.
“Jika dilaksanakan dengan berkesan, ia berpotensi menjadi penanda aras kepada sektor swasta dalam membangunkan budaya kerja yang lebih fleksibel dan berorientasikan prestasi.” katanya.
Sementara itu, Pustakawan Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Norhafizah Abdul Latif turut menyokong pelaksanaan dasar itu kerana mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa perjalanan serta mengurangkan keletihan dan tekanan dalam kalangan pekerja.
Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung membantu meningkatkan kesejahteraan mental, membolehkan pekerja lebih fokus dan produktif, sekali gus memberi manfaat kepada pekerja serta majikan.
“Namun pelaksanaan ni bergantung kepada skop kerja dan juga jenis pekerjaan. Mana yang sesuai memang kita galakkan untuk membendung masalah kesesakan jalan raya ni dan juga meningkatkan produktiviti pada masa yang sama” Kata beliau yang turut dihubungi berita RTM.