40 Ahli Parlimen dijangka bahas laporan RCI TH

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Ogos – Sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen dijangka mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sidang Khas Parlimen yang dijadual berlangsung 11 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sidang khas dijalankan secara berterusan tanpa rehat bagi memberi peluang semua Ahli Parlimen berbahas.
  • Orang ramai boleh mengikuti sidang khas menerusi siaran langsung di semua saluran media rasmi.
  • Kongres Tahunan PKR akan menilai prestasi PRN Johor dan Negeri Sembilan serta membincangkan hala tuju parti dan dasar kerajaan MADANI.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah bersetuju supaya sidang khas itu dijalankan secara berterusan tanpa waktu rehat bagi memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen yang ingin mengambil bahagian.

“Pada ketika ini dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan isu tersebut,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan orang ramai boleh mengikuti sidang khas itu menerusi siaran langsung di semua saluran media rasmi sepanjang persidangan berlangsung.

Dalam pada itu beliau berkata, Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas pencapaian cemerlang pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026, baru-baru ini.

Menurut Datuk Seri Fahmi, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah diharap menjadi suntikan semangat kepada atlet negara untuk terus melakar kejayaan pada kejohanan antarabangsa akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Kongres Tahunan PKR minggu hadapan akan menjadi platform bagi menilai prestasi parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kongres itu diadakan bagi memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras dengan perlembagaan parti, selain menjadi medan kepada perwakilan membincangkan keputusan PRN di kedua-dua negeri.

“Sudah tentu antara isu yang dijangka dibangkitkan ialah respon daripada perwakilan Johor dan Negeri Sembilan mengenai keputusan PRN di kedua-dua negeri tersebut.

“Ia bukan sekadar untuk bermuhasabah, malah mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang telah berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kongres berkenaan turut dijangka menjadi platform kepada perwakilan mengemukakan pandangan serta cadangan, termasuk berkaitan dasar kerajaan yang difikirkan wajar dibincangkan bagi memperkukuh hala tuju parti dan gabungan Kerajaan MADANI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.