
SERDANG, 5 Ogos – Bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi ladang serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Faris Ahmad Fuad berjaya membangunkan robot autonomi yang mampu mengesan seterusnya mengutip buah lerai kelapa sawit secara automatik.
- Sistem penglihatan komputer diintegrasikan pada platform robot mudah alih untuk mengesan kedudukan buah lerai sebelum operasi kutipan.
- Buah lerai mempunyai kandungan minyak tinggi; pengutipan penting untuk elak kehilangan hasil dan kerugian industri.
- Automasi dan AI boleh kurangkan kebergantungan tenaga buruh, tingkatkan produktiviti serta memodenkan pengurusan ladang sawit.
Penyelidikan itu memanfaatkan teknologi sistem penglihatan komputer (computer vision) yang diintegrasikan pada platform robot mudah alih bagi membolehkan robot mengenal pasti kedudukan buah lerai sebelum melaksanakan proses kutipan secara autonomi.
Menurut Faris, inovasi tersebut dibangunkan bagi menangani cabaran utama industri sawit, iaitu proses pengutipan buah lerai yang masih banyak dilakukan secara manual dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.
“Buah lerai ialah buah sawit yang gugur daripada tandan semasa proses penuaian. Walaupun kecil, buah ini mempunyai kandungan minyak yang tinggi dan perlu dikutip kerana jika dibiarkan, ia akan menyebabkan kehilangan hasil serta kerugian kepada industri.
“Proses mengutip buah lerai secara manual memerlukan pekerja mengutip setiap biji yang gugur di atas tanah, sekali gus menjadikan kerja itu mengambil masa dan memerlukan tenaga buruh yang tinggi, jelas anak kelahiran Gurun, Kedah itu.
Tambahnya, walaupun terdapat mesin kutipan bermotor di pasaran, penggunaannya masih memerlukan operator untuk mengendalikannya.
“Melalui penyelidikan ini, saya membangunkan sistem penglihatan komputer yang membolehkan robot mengesan buah lerai secara automatik. Platform robot telah tersedia di makmal dan saya mengintegrasikan teknologi tersebut supaya robot dapat melaksanakan tugas kutipan tanpa bergantung sepenuhnya kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan teknologi automasi seperti itu dilihat mampu membantu industri sawit menghadapi isu kekurangan tenaga buruh selain meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan ladang.
Menurutnya, pemilihan sektor sawit sebagai fokus penyelidikan dibuat kerana industri tersebut merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.
“Saya melihat industri sawit mempunyai impak yang besar kepada Malaysia. Sebagai pelajar Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, saya mahu membangunkan teknologi yang dapat membantu memodenkan sektor ini serta memberi manfaat kepada industri pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau percaya penerapan teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang pertanian hanya tertumpu kepada kerja fizikal.
“Bidang Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem sebenarnya sangat luas. Selain mekanisasi dan automasi, pelajar juga mempelajari AI, sistem maklumat geografi (GIS), pengurusan tanah dan air, teknologi lepas tuai serta pelbagai aplikasi kejuruteraan lain yang menyokong pembangunan pertanian moden,” katanya.