
PUTRAJAYA, 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyegerakan pemprosesan 15,000 permohonan pertama pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor kritikal dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
- Perdana Menteri arah KESUMA segera urus permohonan pekerja asing pertama untuk penuhi keperluan sektor kritikal dan sokong pertumbuhan ekonomi.
- Makluman dibuat Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk memastikan tenaga kerja industri dipenuhi tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.
- Penyelesaian segera diperlukan bagi membantu sektor yang kekurangan tenaga kerja, memastikan kelangsungan operasi dan produktiviti industri.
- Mulai 1 Julai, OSC diletakkan di bawah KESUMA untuk memperkukuh tadbir urus pengambilan pekerja asing secara lebih cekap dan sistematik.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebagai langkah memastikan keperluan tenaga kerja industri dapat dipenuhi tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.
“Perdana Menteri telah memohon supaya pihak KESUMA segera menguruskan 15,000 permohonan pekerja asing yang pertama bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor yang terlibat dan secara langsung menyokong aktiviti ekonomi negara,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Beliau berkata, penyelesaian segera permohonan itu penting bagi membantu sektor-sektor yang masih berdepan kekurangan tenaga kerja, sekali gus memastikan kelangsungan operasi serta produktiviti industri.
Pada 1 Julai lalu, Jemaah Menteri memutuskan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) diletakkan di bawah pengurusan KESUMA bagi memperkukuh tadbir urus pengambilan pekerja asing serta memastikan keperluan tenaga kerja sektor industri dapat dipenuhi secara lebih cekap dan sistematik.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fahmi berkata kerajaan sedang meneliti aspek keselamatan dan kemanusiaan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar.
Katanya, perkara itu kini diteliti oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk menetapkan kriteria yang perlu dipenuhi sebelum proses berkenaan dapat dilaksanakan.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang 5,000 pelarian Myanmar sekiranya tindakan itu boleh menyebabkan mereka berdepan penindasan atau ancaman terhadap nyawa mereka.
“Sehubungan itu, kerajaan akan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri bahawa pertimbangan utama kerajaan adalah memastikan keselamatan dan kebajikan pelarian sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.
Tambahnya, Wisma Putra kini mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan Myanmar bagi meneliti semua aspek berkaitan sebelum keputusan muktamad dibuat.