Kabinet arah PDRM ditempatkan dalam AVSEC, perkukuh keselamatan lapangan terbang

Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Ogos – Kerajaan mengarahkan beberapa langkah penambahbaikan dilaksanakan segera bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang, termasuk menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arahan menempatkan anggota PDRM dalam pasukan AVSEC untuk memperkukuh kawalan keselamatan lapangan terbang.
  • MAG diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan saringan kesihatan juruterbang serta pembantu juruterbang.
  • PDRM bersama AKPS diarahkan menilai kelemahan sistem keselamatan dan menutup sebarang kelompongan segera.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan oleh KDN dan MOT bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera. Pertama, melibatkan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) yang perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia. Pada waktu ini pasukan yang mengurus adalah dalam kalangan polis bantuan,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Selain itu, Datuk Seri Fahmi berkata Malaysia Aviation Group (MAG) turut diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan saringan kesihatan juruterbang serta pembantu juruterbang susulan beberapa insiden yang berlaku.

Beliau berkata, PDRM bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut diarahkan meneliti sebarang kelemahan atau kelompangan dalam sistem keselamatan yang berpotensi disalahg
unakan supaya tindakan pembetulan dapat dilaksanakan dengan segera.

Mengulas kemungkinan penubuhan pasukan siasatan khas berhubung kes itu, Datuk Seri Fahmi, berkata kerajaan akan meneliti laporan penuh terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pada waktu ini, kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri, memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh. Kita akan teliti dan pertimbang tindakan-tindakan susulan. Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk pastikan kelompongan dapat ditutup dengan segera,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Menurut Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI), pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta berdasarkan harga pasaran di Indonesia.

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.