
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kerjasama strategik antara Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan Thong Empire Sdn. Bhd. menerusi jenama Thong Bowl dan Thong Cha Plus dilihat mampu memperkukuh usaha memelihara serta mempromosikan warisan negara melalui pendekatan yang lebih kreatif, kontemporari dan dekat dengan masyarakat.
- Kolaborasi selari dengan Teras Pembinaan Negara Bangsa, menjadikan warisan sebagai asas pembentukan identiti nasional dan penghayatan sejarah.
- Penghasilan pin koleksi dan syiling peringatan berasaskan koleksi muzium sebagai medium pendidikan, estetika, komersial dan pembentukan jati diri.
- Pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat menggabungkan kepakaran awam dan swasta, menyokong industri kreatif serta ekonomi warisan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, kolaborasi itu selari dengan Teras Pembinaan Negara Bangsa yang menjadikan warisan sebagai wahana membentuk identiti nasional, memperkukuh semangat patriotisme dan meningkatkan penghayatan rakyat terhadap sejarah negara.
Beliau berkata, penghasilan produk eksklusif seperti pin koleksi dan syiling peringatan berasaskan koleksi muzium bukan sahaja mempunyai nilai estetika dan komersial, malah berfungsi sebagai medium pendidikan serta pembinaan jati diri.
“Setiap rekaan berasaskan koleksi muzium membawa naratif mengenai sejarah, tokoh, institusi, simbol kenegaraan dan pencapaian tamadun negara.
“Produk-produk ini menjadi medium yang mendekatkan masyarakat kepada warisan dalam bentuk yang lebih kontemporari, mudah diakses dan dekat dengan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kolaborasi Strategik antara JMM dengan Thong Empire Sdn. Bhd. bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Menurut beliau, kementerian melihat pembangunan produk berasaskan warisan sebagai satu bentuk interpretasi baharu yang mampu menghubungkan sejarah dengan kehidupan masyarakat masa kini.
Datuk Haslina berkata, kerjasama itu turut mencerminkan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang menggabungkan kepakaran sektor awam dan swasta dalam memperkasakan agenda perpaduan negara.
Katanya, kepakaran industri dalam bidang reka bentuk, inovasi, pemasaran dan pembangunan produk dapat dipadankan dengan kekuatan institusi muzium yang memiliki khazanah sejarah serta koleksi warisan negara.
“Gabungan kedua-dua kekuatan ini bukan sahaja meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap warisan, malah membuka peluang kepada pembangunan industri kreatif berasaskan budaya serta menyokong ekonomi warisan negara,” katanya.
Sementara itu, Thong Empire Sdn. Bhd. komited memperkenalkan warisan negara kepada generasi muda menerusi kempen ‘Warisan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan’ yang dilaksanakan dengan kerjasama JMM bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Ketua Pemasaran, Thong Empire Sdn. Bhd., Tan See Yee berkata, menerusi kolaborasi itu, enam motif tekstil tradisional dijadikan siri pin koleksi, manakala legasi Bapa Kemerdekaan diabadikan pada syiling emas edisi terhad menerusi kempen “Warisan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan”.
Kempen berkenaan berlangsung di seluruh cawangan Thong Empire bermula 3 Ogos hingga 27 September.