
BANGI, 5 Ogos – Pendekatan pengurusan banjir di Malaysia perlu beralih daripada strategi reaktif kepada pendekatan yang lebih proaktif.
- Pengurusan berasaskan analisis risiko, data saintifik dan tadbir urus mantap untuk meningkatkan daya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.
- Pemanfaatan kecerdasan buatan bagi memproses data besar dan menyokong keputusan pantas, tepat serta berkesan dalam pengurusan banjir.
- Gabungan langkah struktur dan bukan struktur seperti RTB, kolam takungan, rumah pam, PITB, PISMA dan MSMA untuk pengurusan risiko dan amaran awal.
Langkah ini penting bagi memastikan pengurusan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan berasaskan analisis risiko, data saintifik dan tadbir urus yang mantap dalam menghadapi cabaran perubahan iklim
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, banjir monsun bukan sekadar fenomena limpahan air sungai, sebaliknya memberi kesan besar terhadap keselamatan nyawa, kelangsungan ekonomi, operasi kemudahan awam serta daya tahan komuniti.
Menerusi Dasar Air Negara dan Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040), Datuk Ir. Mohamad Radzi memaklumkan, kerajaan terus memperkukuh pengurusan sumber air secara holistik, meliputi kawasan tadahan hingga ke pesisir pantai.
“Dalam pelan itu, beberapa strategi digariskan sebagai panduan kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan tindakan bagi mencapai matlamat AIR 2040 ke arah pengurusan sumber air yang lebih mampan.
“Aspek teknologi turut diberi penekanan, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong proses membuat keputusan.
“Teknologi AI membantu memproses data dalam jumlah yang besar dalam tempoh yang lebih singkat, sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya selepas merasmikan Simposium Bah Monsun 2026 (SimBAH 2026) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JPS terus memperkukuh pengurusan banjir menerusi pendekatan struktur dan bukan struktur.
Pendekatan struktur merangkumi pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB), pembinaan kolam takungan, rumah pam, pintu kawalan air serta kerja-kerja pemulihan sungai dan perlindungan pantai.
Sementara pendekatan bukan struktur pula melibatkan pelaksanaan Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB), Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) serta Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) bagi memperkukuh pengurusan risiko banjir dan sistem penyampaian amaran awal.