
PUTRAJAYA, 10 Jun– Malaysia mampu memainkan peranan lebih besar dalam usaha keamanan global berdasarkan kedudukan strategik serta pendekatan diplomatik yang diamalkan negara ini.
- Manfaat bersama daripada globalisasi dengan China dan negara-negara ASEAN, membuka peluang kerjasama untuk keamanan dan kemakmuran serantau.
- Pendekatan seimbang tanpa memihak kepada kuasa besar memperkukuh peranan konstruktif Malaysia dalam merangsang dialog antarabangsa.
- Kebijaksanaan berani menyuarakan pendirian tentang alam sekitar, kawalan senjata nuklear dan ketidaksamaan ekonomi.
- Pendidikan perlu dimanfaatkan bukan sekadar komersial, tetapi untuk membentuk pemikiran, persefahaman, keamanan dan kemakmuran.
Pakar sains politik antarabangsa, Profesor Li Cheng berkata, faktor itu membolehkan Malaysia menyumbang kepada usaha penyelesaian konflik dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia berada pada kedudukan penting dalam landskap geopolitik yang sedang berubah serta antara negara yang mendapat manfaat daripada proses globalisasi bersama China dan negara-negara ASEAN.
“Malaysia dan China sama-sama mendapat manfaat daripada globalisasi.
Kebangkitan China dan Malaysia berlaku seiring dan kedua-dua negara boleh bekerjasama memainkan peranan penting dalam mewujudkan keamanan serta kemakmuran serantau dan global,” katanya.
Profesor Li yang juga Pengarah Centre on Contemporary China and the World (CCCW) serta Profesor School of Governance and Policy, University of Hong Kong (HKU) berkata demikian selepas menyampaikan syarahan umum di Putrajaya.
Menurut beliau lagi, Malaysia turut menunjukkan kebijaksanaan dalam mengimbangi hubungan antarabangsa tanpa memihak kepada mana-mana kuasa besar.
Malah, berani menyuarakan pendirian dalam pelbagai isu sejagat termasuk alam sekitar, kawalan senjata nuklear, ketidaksamaan ekonomi dan kepentingan bersama dunia.
Jelasnya, pendekatan itu membolehkan Malaysia terus memainkan peranan konstruktif dalam menggalakkan dialog serta persefahaman antara negara.
Dalam pada itu, Profesor Li turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai medium memperkukuh hubungan dan persefahaman antarabangsa.
“Saya berharap Malaysia, Hong Kong, China dan negara-negara lain dapat memanfaatkan kerjasama pendidikan bukan atas faktor komersialsemata-mata.
Namun, untuk membentuk pemikiran, persefahaman serta keamanan dan kemakmuran dunia,” ujarnya lagi.