
MARANG, 10 Jun– Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan beberapa lokasi aktiviti riadah lasak, khususnya pendakian, ditutup sementara sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
- Mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan di kawasan hutan.
- Peserta riadah lasak mesti membuat persediaan rapi dan mematuhi langkah keselamatan.
- JBPM dan Jabatan Perhutanan sedang berbincang untuk tambah baik SOP serta aspek keselamatan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan di kawasan hutan.
Jelas beliau, penutupan sementara itu juga membolehkan keutamaan diberikan kepada operasi berkaitan banjir, ribut dan bencana yang lazim berlaku sepanjang musim berkenaan.
“Pada waktu itu (MTL), tumpuan sepatutnya diberikan kepada operasi banjir, ribut dan perkara berkaitan monsun.
Sebab itu kita akan memohon supaya lokasi riadah lasak, terutama pendakian, ditutup sementara agar usaha pengurusan MTL dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Datuk Seri Ts. Nor Hisham berkata demikian ketika mengulas insiden pendaki sesat yang sering mendapat perhatian umum.
Ia termasuk kritikan terhadap kos operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan.
Menurut beliau, aktiviti riadah lasak merupakan amalan gaya hidup sihat yang wajar diteruskan.
Namun, peserta perlu membuat persediaan rapi dan mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Pada masa sama, JBPM sedang berbincang dengan Jabatan Perhutanan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kejadian pendaki sesat pada masa hadapan.
Terdahulu, Datuk Seri Ts. Nor Hisham menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM 2026 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai.
Pertandingan itu menghimpunkan 287 peserta daripada 16 kontinjen seluruh negara.
Sebanyak 10 acara dipertandingkan termasuk kategori e-sukan.