
TOKYO, 10 Jun- Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal teguh dan terus menerima sokongan daripada parti-parti yang membentuk gabungan, sekali gus menafikan dakwaan wujud perpecahan dalam kerajaan.
- Pendekatan politik gabungan berasaskan rundingan dan kerjasama antara parti dalam kerajaan.
- Tiada ura-ura perpecahan; isu diselesaikan melalui rundingan dan perbincangan baik.
- Perdana Menteri menafikan penglibatan dalam perbincangan mengenai PH mengkhianati rakan gabungan.
- Keputusan politik di peringkat negeri adalah urusan pimpinan negeri masing-masing.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan politik yang diamalkan gabungan itu adalah berasaskan rundingan dan kerjasama antara parti dalam kerajaan.
“Tak ada lagi ura-ura (perpecahan) pun. Dalam politik ini, soal cerai, talak, kahwin bukan cara kita. Kita runding dengan baik, bincang dengan baik, kerjasama dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke dalam PH susulan perkembangan hubungan parti itu dengan PAS.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau tidak terbabit dalam sebarang perbincangan yang mengaitkan PH dengan tindakan mengkhianati rakan gabungan.
“Saya tidak mahu terbabit dalam apa-apa langkah atau bincang soal PH mengkhianati sahabat (gabungan),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan politik di peringkat negeri adalah urusan pimpinan negeri masing-masing.