
TOKYO, 9 Jun – Kerjasama dengan syarikat utama Jepun dan antarabangsa dapat membantu Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi serta keterjaminan bekalan ketika dunia berdepan krisis bekalan global.
- Menitikberatkan tarikan pelaburan berkualiti untuk mengembangkan ekosistem berteknologi tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
- Perbincangan tumpu peluang pelaburan dalam tenaga, industri halal, AI, pusat data, teknologi digital dan industri masa depan.
- Keyakinan syarikat Jepun pada Malaysia mencerminkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan strategik, memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat utama Jepun dan antarabangsa di sini hari ini.
Ia memberi tumpuan kepada potensi kerjasama serta peluang pelaburan baharu dalam pelbagai sektor strategik antaranya tenaga, industri halal, kecerdasan buatan (AI), pusat data, teknologi digital dan industri masa hadapan.
“Fokus Malaysia adalah menarik lebih banyak pelaburan berkualiti bagi memperkasa ekosistem berteknologi tinggi negara.
“Pada masa sama, usaha itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pertemuan tersebut melibatkan syarikat IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.
Kesemua syarikat berkenaan merupakan antara peneraju dunia dalam bidang AI, teknologi perkomputeran termaju, automotif berteknologi tinggi, tenaga, infrastruktur serta pembangunan tenaga boleh baharu.
Datuk Seri Anwar menyifatkan, keyakinan syarikat terkemuka Jepun terhadap Malaysia mencerminkan kedudukan negara yang semakin dipercayai sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini.
“Keyakinan itu penting khususnya dalam sektor yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi masa depan. Kerjasama berkenaan turut memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama,” jelasnya.