
BRUSSELS, 9 Jun– Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan pakej sekatan baharu terhadap Rusia yang buat pertama kali menyasarkan sektor perikanan negara itu.
- Hadkan import beberapa produk perikanan Rusia dan larang kemasukan produk tertentu, termasuk ikan kod.
- Pakej sekatan ke-21 menyasarkan sektor tenaga, perkhidmatan kewangan, perdagangan, kripto dan perikanan.
- Perluas larangan transaksi kepada 31 bank Rusia dan sekat 20 entiti negara ketiga, termasuk bank, kripto dan pedagang minyak.
- Hadkan perdagangan beberapa logam dan aloi pertahanan, larang eksport peralatan dron seperti sistem pelancaran dan teknologi gangguan isyarat.
Menerusi inisiatif tersebut, EU bakal mengehadkan import beberapa produk perikanan dari Rusia serta melarang sepenuhnya kemasukan produk tertentu termasuk ikan kod.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pakej sekatan ke-21 yang turut melibatkan sektor tenaga, kewangan, perdagangan dan aset kripto.
“Hari ini kami mengemukakan pakej sekatan ke-21 yang memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai impak tertinggi, termasuk tenaga, perkhidmatan kewangan, kripto, perdagangan dan perikanan,” katanya.
Dalam sektor tenaga, EU mencadangkan sekatan terhadap 30 lagi kapal yang dipercayai digunakan bagi menyokong perdagangan minyak Rusia.
Buat pertama kali, tindakan itu turut melibatkan kapal yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada operasi berkenaan.
Cadangan tersebut juga menyasarkan kemudahan seperti pelabuhan, lapangan terbang dan loji penapisan yang terlibat dalam urusan minyak Rusia.
“Bagi sektor kewangan, EU mahu memperluas larangan transaksi kepada 31 lagi bank Rusia.
Sekatan sama turut dicadangkan terhadap 20 entiti di negara ketiga, termasuk bank, syarikat kripto, platform kewangan dan pedagang minyak yang membantu Moscow mengelak sekatan sedia ada,” ujarnya.
Tambah Von der Leyen, EU turut merancang memperketat kawalan terhadap perkhidmatan aset kripto yang digunakan untuk memudahkan urusan kewangan Rusia melalui negara lain.
Selain itu, beberapa logam dan aloi yang digunakan dalam industri pertahanan serta aeroangkasa akan dikenakan sekatan perdagangan.
Cadangan itu turut merangkumi larangan eksport peralatan tertentu yang boleh digunakan dalam operasi dron, termasuk sistem pelancaran, peralatan sokongan darat dan teknologi gangguan isyarat.
Von der Leyen memaklumkan, sekatan yang dicadangkan bertujuan meningkatkan tekanan terhadap ekonomi Rusia dan menjejaskan sumber yang digunakan untuk menyokong perangnya.