Malaysia kekalkan kuota pengeluaran minyak bagi 2026

Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kuota pengeluaran petroleum Malaysia bawah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bagi tahun 2026 dikekalkan seperti yang dipersetujui sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPEC sedang merangka kajian 2027 dikenali sebagai Maximum Sustainable Corporation untuk menilai semula kuota negara secara menyeluruh dan terperinci.
  • Malaysia bersetuju memberi kerjasama penuh kepada kajian tersebut supaya kuota seimbang dengan kapasiti dan tahap pengeluaran semasa.
  • Satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti lambakan produk e-dagang dari China dan penyertaan perniagaan asing dalam pasaran tempatan.
  • Kerajaan mahu memudahkan perniagaan tetapi mengelak persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan perniagaan tempatan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat OPEC+ yang berlangsung di Vienna, Austria pada Ahad lepas sekali gus memberi kelegaan kepada negara kerana membolehkan aktiviti sektor minyak dan gas diteruskan seperti telah dirancang, meskipun dunia masih berdepan krisis bekalan tenaga.

“Kita mempunyai komitmen dengan OPEC+ dan telah dipersetujui bahawa kuota bagi tahun 2026 kekal seperti yang diputuskan sebelum ini. Bagi perancangan tahun 2027 pula, OPEC sedang merangka kajian yang dikenali sebagai Maximum Sustainable Corporation bagi memastikan kuota setiap negara dinilai semula menerusi kajian yang lebih menyeluruh dan terperinci.

“Bagi pihak Malaysia, kita telah bersetuju untuk memberikan kerjasama penuh kepada kajian tersebut supaya negara dapat terus mengekalkan tahap kuota yang seimbang dengan kapasiti serta tahap pengeluaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel dalam Invest Malaysia di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut memaklumkan satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti isu lambakan produk e-dagang dari China dan penyertaan perniagaan asing dalam pasaran tempatan secara lebih menyeluruh.

Kemudahan menjalankan perniagaan adalah penting tetapi pada masa sama, kerajaan perlu mengelak persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan perniagaan tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.