
SAUDARA PENGARANG
- Regulasi emosi ialah kemahiran dipelajari untuk memantau, menilai dan menyesuaikan tindak balas emosi sesuai tuntutan situasi.
- Peranan ibu bapa dan persekitaran penyayang, konsisten dan menyokong penting membentuk kemampuan kawal emosi kanak-kanak.
- Kegagalan mengurus emosi membawa masalah disiplin, konflik sosial dan menjejaskan kesejahteraan psikologi jangka panjang.
- Gabungan pendidikan emosi moden dan panduan al-Quran menghasilkan pendekatan holistik membentuk kanak-kanak matang emosi dan berakhlak.
Dalam dunia hari ini, perbincangan tentang kecerdasan kanak-kanak sering tertumpu kepada pencapaian akademik, kemahiran teknologi dan kebolehan berfikir aras tinggi. Namun, terdapat satu aspek yang tidak kurang penting tetapi sering terlepas daripada perhatian, iaitu keupayaan mengurus emosi atau regulasi emosi.
Hakikatnya, kejayaan kanak-kanak bukan hanya ditentukan oleh tahap kecerdasan intelek, tetapi juga oleh keupayaan memahami, mengawal dan menyesuaikan emosi dalam pelbagai situasi kehidupan.
Dalam bidang psikologi, regulasi emosi merujuk kepada proses individu mengawal, mengurus dan menyesuaikan tindak balas emosi agar selaras dengan tuntutan situasi atau matlamat yang ingin dicapai. Proses ini melibatkan pemantauan dan penilaian terhadap emosi, sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Dalam konteks pendidikan, regulasi emosi merupakan kemahiran yang boleh dipelajari dan dibentuk melalui pengalaman serta latihan.
Kemahiran ini membantu murid mengurus perasaan seperti kecewa, marah, sedih atau tertekan agar mereka dapat mengekalkan fokus dalam pembelajaran, membina hubungan sosial yang positif dan bertindak secara lebih matang ketika berdepan cabaran.
Hakikatnya, kanak-kanak tidak dilahirkan dengan kemahiran regulasi emosi yang sempurna. Mereka belajar mengenali dan mengurus emosi secara beransur-ansur melalui interaksi dengan ibu bapa, guru, rakan sebaya dan persekitaran.
Oleh itu, perkembangan emosi perlu diberi perhatian sama serius seperti perkembangan akademik dan fizikal.
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai keupayaan regulasi emosi yang baik lebih cenderung menunjukkan tingkah laku prososial, memiliki hubungan interpersonal yang lebih sihat serta mencapai prestasi akademik yang lebih baik berbanding rakan sebaya yang sukar mengawal emosi.
Hal ini kerana regulasi emosi menjadi asas kepada perkembangan fungsi eksekutif seperti kawalan diri, penyelesaian masalah dan keupayaan membuat keputusan.
Sebaliknya, kegagalan mengurus emosi boleh membawa kepada pelbagai masalah tingkah laku. Kanak-kanak yang mudah marah, cepat berputus asa atau gagal mengawal kekecewaan lebih berisiko menghadapi konflik sosial, masalah disiplin dan kesukaran menyesuaikan diri dalam persekitaran sekolah.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi dan perkembangan diri.
Faktor yang mempengaruhi regulasi emosi kanak-kanak sangat pelbagai, termasuk perkembangan neurologi, pengalaman sosial dan gaya keibubapaan.
Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang penuh kasih sayang, konsisten dan menyokong lazimnya lebih mudah membangunkan kemahiran mengurus emosi secara positif.
Sebaliknya, persekitaran yang penuh tekanan, konflik atau pengabaian boleh mengganggu proses perkembangan tersebut.
Ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Kanak-kanak belajar tentang emosi bukan hanya melalui nasihat, tetapi melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang dewasa.
Apabila ibu bapa mampu mengurus kemarahan dengan baik, menunjukkan kesabaran ketika menghadapi tekanan dan berkomunikasi secara matang, anak-anak cenderung meniru tingkah laku tersebut.
Menariknya, prinsip regulasi emosi turut disentuh dalam Islam. Al-Quran menekankan kepentingan mengawal emosi dan bertindak secara seimbang. Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 134 bermaksud:
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Ayat ini menunjukkan bahawa keupayaan mengawal emosi, khususnya kemarahan, merupakan ciri orang yang bertakwa. Walaupun ditujukan kepada orang dewasa, nilai ini wajar diterapkan sejak usia kanak-kanak sebagai asas pembentukan akhlak.
Al-Quran juga memaparkan contoh melalui kisah para nabi. Antaranya kisah Nabi Yusuf AS dan Nabi Yaakub AS. Nabi Yusuf AS berdepan ujian sejak kecil termasuk iri hati saudara-saudaranya sehingga baginda dicampakkan ke dalam perigi dan dipisahkan daripada keluarga.
Namun, Nabi Yusuf AS tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Baginda memilih kesabaran, kebijaksanaan dan pengampunan. Hal ini menunjukkan emosi yang kuat boleh diurus dengan baik apabila disandarkan kepada iman dan keyakinan kepada Allah SWT.
Begitu juga Nabi Yaakub AS yang berdepan kesedihan akibat kehilangan anak yang dikasihi. Walaupun kesedihan itu mendalam sehingga penglihatannya terjejas, baginda tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 87 bermaksud:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya, dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
Kisah ini mengajar bahawa emosi seperti sedih, kecewa dan kehilangan ialah sebahagian daripada fitrah manusia. Yang penting bukan menafikan emosi tersebut, tetapi menguruskannya dengan sabar, reda dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Dalam dunia moden, pelbagai pendekatan diperkenalkan untuk membangunkan regulasi emosi kanak-kanak, termasuk terapi bermain, pendekatan kognitif-tingkah laku dan program pendidikan sosioemosi.
Pendekatan ini membantu kanak-kanak mengenali, memahami dan meluahkan emosi secara sihat serta meningkatkan kesejahteraan emosi.
Kesimpulannya, pengurusan emosi merupakan asas penting dalam pembentukan kanak-kanak yang seimbang dan sejahtera. Kemahiran ini tidak berlaku secara spontan, tetapi perlu dibentuk melalui bimbingan ibu bapa, guru dan masyarakat.
Apabila ilmu psikologi moden digabungkan dengan panduan al-Quran, lahir pendekatan yang lebih holistik dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga matang emosi, kukuh akhlak dan berupaya menghadapi cabaran kehidupan dengan bijaksana.
Dengan kata lain, pendidikan emosi kanak-kanak hari ini ialah pelaburan penting untuk melahirkan masyarakat yang lebih harmoni pada masa hadapan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Sahlawati Abu Bakar
Pensyarah, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Peradaban Islam
Universiti Islam Selangor
E-mel: sahlawati@uis.edu

Maznah Ramli
Kaunselor Berdaftar/Guru
Pengusaha Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak
E-mel: misnah1997@gmail.com