Pelancong China hidupkan semula sejarah komunis

Foto AFP

China, 27 Julai – Lebih 1,000 pelancong menyertai acara lakonan semula pertempuran bersejarah di Loushan Pass, wilayah Guizhou, barat daya China, dengan memakai pakaian seragam Tentera Merah dan membawa senjata tiruan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lakonan semula menggambarkan pertempuran penting 1935 antara Tentera Merah dan Kuomintang semasa Long March.
  • Kanak-kanak serendah usia lima tahun turut menyertai, memakai kostum dan membawa senjata mainan dalam simulasi peperangan.
  • Acara sebahagian usaha memperluas pelancongan merah, mempromosikan tapak berkaitan sejarah Parti Komunis dan pengaruhnya terhadap China moden.

Acara yang diserikan dengan kesan bunyi letupan serta piroteknik itu menggambarkan pertempuran penting pada 1935 antara pasukan komunis dan nasionalis ketika era Long March, yang kini menjadi tarikan pelancongan popular di media sosial China.

Dalam acara itu, peserta berlakon sebagai anggota Tentera Merah yang menyerbu kawasan bukit sambil mengibarkan bendera merah sebagai simbol kemenangan selepas berjaya menawan kedudukan pasukan Kuomintang.

Malah kanak-kanak seawal usia lima tahun turut mengambil bahagian dengan memakai kostum askar serta membawa pedang mainan ketika menyertai simulasi pertempuran tersebut.

Seorang pelancong, Jiang Jun, 40, berkata pengalaman itu memberinya gambaran seolah-olah berada dalam suasana peperangan sebenar.

“Saya dapat merasai bagaimana pengalaman dan pengorbanan yang dilalui oleh mereka yang berjuang ketika itu,” katanya.

Acara berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha China memperluaskan konsep ‘pelancongan merah’ (red tourism), yang mempromosikan lokasi bersejarah berkaitan perjalanan dan perkembangan Parti Komunis China.

Pertempuran Loushan Pass menjadi titik penting dalam sejarah Long March apabila pasukan pimpinan Mao Zedong berjaya menembusi pertahanan tentera nasionalis pimpinan Chiang Kai-shek.

Menurut seorang peserta dari wilayah Guangxi, Xu, lokasi bersejarah seperti itu perlu terus dikenang kerana dianggap memainkan peranan penting dalam pembentukan China moden.

“Jika pasukan Mao tidak berjaya menembusi pertahanan di Loushan Pass, kita mungkin tidak akan melihat China baharu seperti hari ini,” katanya.

Loushan Pass kini menjadi antara destinasi pelancongan sejarah yang menarik minat pengunjung untuk menyaksikan semula peristiwa yang dianggap penting dalam sejarah politik China.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.