Kerjasama Malaysia-Bahrain cipta sejarah baharu F1 di Sepang

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Penganjuran Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kali ini mencatat sejarah tersendiri menerusi kerjasama strategik yang melibatkan F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • SIC merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan atas sokongan padu.
  • Litar Sepang kekal Gred 1 FIA; fasiliti dan tenaga kerja sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
  • Penganjuran dijangka limpahkan manfaat ekonomi, tingkatkan pelancongan, bangunkan industri permotoran dan inspirasi generasi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai satu penghormatan besar buat Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi negara sebagai destinasi penganjuran sukan bertaraf dunia.

Menurut beliau, kejayaan membawa Grand Prix Bahrain ke SIC tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan padu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

“Bagi pihak SIC, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Belia dan Sukan atas sokongan padu dan keyakinan yang diberikan sehingga membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain di SIC.

“Sokongan dan persetujuan mereka menjadi pemangkin utama kepada terjalinnya kerjasama bersejarah ini, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa bertaraf dunia.

“Kami komited untuk mengendalikan acara bertaraf dunia ini dengan penuh profesionalisme dan kecemerlangan, selari dengan hospitaliti Malaysia yang dikenali di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhan berkata, meskipun kali terakhir Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan F1 adalah pada tahun 2017, status litar itu sebagai litar Gred 1 FIA memastikan kemudahan serta tenaga kerjanya sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

“Hampir dua dekad Sepang sinonim dengan F1. Walaupun tidak berlumba di lokasi ini buat beberapa ketika, semangat F1 tidak pernah meninggalkan litar ini.

“Kami terus melabur dalam fasiliti bagi memastikan standard tertinggi yang diharapkan dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, selain menghidupkan semula kemeriahan sukan permotoran negara, penganjuran Grand Prix Bahrain di Sepang dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi negara, khususnya menerusi peningkatan sektor pelancongan.

Dalam masa sama, menjadi pemangkin kepada pembangunan industri sukan permotoran dan memberi inspirasi kepada generasi baharu peminat sukan itu.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.