
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Penganjuran perlumbaan Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober depan disifatkan sebagai peluang terbaik untuk Malaysia menilai semula potensi kembali menjadi tuan rumah tetap kejohanan sukan permotoran berprestij itu bagi tempoh lima tahun akan datang.
- Penganjuran ini harus dimanfaatkan untuk menilai pulangan pelaburan dan impak ekonomi melalui penilaian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
- Litar Antarabangsa Sepang kekal pada tahap piawaian tinggi berkat penyelenggaraan MotoGP, memudahkan pematuhan keperluan FIA untuk F1.
- Secara logistik, Sepang sesuai sebagai pengganti Bahrain kerana kedudukan antara Baku dan Singapura, dan dianggap aktif serta mampu.
- Cabaran utama ialah pemasaran dengan kurang dua bulan; kerjasama Tourism Malaysia, MITI dan Kementerian Kewangan penting untuk tarik pelancong.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, penganjuran kali ini yang dianggap sebagai satu pengecualian selepas sembilan tahun, perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak berkepentingan bagi menilai pulangan pelaburan serta impak ekonomi yang mampu dijana.
Menurut beliau, penilaian menyeluruh itu penting sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung penyertaan semula Malaysia dalam kalendar tetap Formula One.
“Kita kena gunakan penganjuran tahun ini untuk semua pihak berkepentingan berjumpa, berbincang dan menganalisis impak ekonomi.
“Ini supaya keputusan yang betul-betul tepat dapat dibuat bagi menjangkakan pulangan yang baik, kerana hos F1 bukanlah satu acara yang kecil, ia adalah acara global,” katanya kepada RTM.
Mengulas mengenai aspek kesiapsiagaan litar, Datuk Razlan berkata Litar Antarabangsa Sepang masih berada pada tahap piawaian yang tinggi meskipun kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017.
Katanya, penganjuran MotoGP secara konsisten setiap tahun memastikan SIC terus mengekalkan standard penyelenggaraan yang ketat mengikut piawaian Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), sekali gus memudahkan litar itu memenuhi keperluan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bagi menganjurkan perlumbaan F1.
“Secara logistik, ia masuk akal untuk mereka memilih Sepang sebagai litar pengganti bagi slot Bahrain memandangkan kedudukannya di antara perlumbaan di Baku dengan Singapura.
“Pihak F1 melihat SIC masih aktif, berada dalam keadaan baik dan mampu menganjurkan acara bertaraf dunia,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama ketika ini ialah aspek pemasaran memandangkan pihak penganjur mempunyai tempoh kurang daripada dua bulan untuk mempromosikan jualan tiket dan menarik kehadiran penonton.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara agensi seperti Tourism Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Kementerian Kewangan amat penting bagi memastikan kempen promosi dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan memberikan impak ekonomi yang maksimum.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada tahun 2017 sebelum kontrak penganjuran ditamatkan berikutan kos penganjuran tinggi serta pulangan komersial yang semakin merosot ketika itu.