“Presenteeism”, cabaran Bekerja Dari Rumah

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja dari rumah beri fleksibiliti tetapi sukar memisahkan kerja dan kehidupan peribadi, menyebabkan tekanan emosi, keletihan dan fenomena presenteeism.
  • Presenteeism ialah bekerja walaupun tidak sihat atau hadir tetapi prestasi tidak optimum, menjejaskan kesejahteraan dan produktiviti jangka panjang.
  • Punca termasuk masalah kesihatan fizikal dan mental, beban keluarga, kerja lebih masa, gangguan teknologi dan penyalahgunaan internet.
  • Majikan dan pekerja perlu bekerjasama melalui penyesuaian waktu, fleksibiliti tugasan, komunikasi terbuka dan integriti untuk membina budaya kerja sihat.

Dalam era digital yang berkembang pesat dan maju, landskap pekerjaan turut mengalami perubahan ketara sejajar dengan kemajuan teknologi dan keperluan semasa masyarakat.

Dahulunya, kehadiran fizikal di pejabat dianggap simbol utama komitmen dan penanda aras produktiviti pekerja, namun realitinya kini semakin berbeza.

Pelbagai tugasan pejabat boleh dilaksanakan secara fleksibel tanpa perlu berada di pejabat secara tetap.

Mesyuarat dalam talian, penggunaan sistem pengurusan dokumen digital serta platform kolaborasi maya telah menjadikan pejabat fizikal bukan lagi satu keperluan mutlak untuk melaksanakan tanggungjawab harian secara berkesan.

Jika sebelum ini, ketika pendemik melanda dunia, Bekerja Dari Rumah (BDR) diperkenalkan secara menyeluruh.

Terkini, ekoran kenaikan harga minyak dan krisis tenaga dunia pendekatan bekerja dari rumah juga dilihat sebagai antara solusi praktikal yang mampu membantu mengurangkan beban kewangan pekerja serta kos operasi organisasi.

Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan dasar BDR secara berperingkat melibatkan sektor awam, khususnya di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan bahan api, malah menjadi sebahagian daripada usaha menangani krisis tenaga global secara lebih mampan.

Menurut laporan, pelaksanaan dasar BDR berjaya menjimatkan ratusan ribu liter bahan api dengan nilai penjimatan mencecah ratusan ribu ringgit.

Bagaimanapun, fleksibiliti kerja ini turut hadir bersama cabaran tersendiri. Sebahagian pekerja berdepan kesukaran memisahkan urusan kerja dan kehidupan peribadi sehingga menyebabkan tekanan emosi, keletihan mental dan fenomena presenteeism.

Presenteeism adalah keadaan pekerja terus bekerja walaupun tidak sihat demi memenuhi tuntutan kerja. Situasi ini jika tidak ditangani secara bijaksana boleh menjejaskan kesejahteraan pekerja dan produktiviti organisasi dalam jangka panjang.

Presenteeism bukan sahaja merujuk kepada situasi pekerja yang hadir ke tempat kerja ketika berada dalam keadaan kurang sihat, malah turut merangkumi keadaan apabila seseorang pekerja gagal memberikan prestasi kerja yang optimum walaupun hadir dan berada di hadapan komputer atau di ruang kerja mereka.

Fenomena ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk masalah kesihatan fizikal dan mental, tekanan emosi, keletihan, serta tahap komitmen yang rendah terhadap tanggungjawab pekerjaan.

Selain itu, terdapat segelintir pekerja yang memikul tanggungjawab keluarga yang besar, termasuk menjaga anak-anak yang masih kecil atau ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus.

Keadaan ini boleh menjejaskan keseimbangan antara tuntutan kerja dan kehidupan peribadi, sekali gus memberi kesan kepada tahap komitmen serta keupayaan mereka untuk mengekalkan prestasi kerja yang optimum.

Dalam masa yang sama, beban tugas yang semakin meningkat menyebabkan ramai pekerja terpaksa membawa pulang kerja ke rumah atau menyelesaikan tugasan tambahan di luar waktu pejabat.

Antara lain, ada juga pekerja yang terpaksa melakukan kerja tambahan bagi menanggung kehidupan seharian dek kerana tanggunggan yang besar. Situasi ini bukan sahaja mengurangkan masa rehat yang berkualiti, malah boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang berpanjangan.

Bukan itu sahaja, gejala presenteeism turut dikaitkan dengan gangguan teknologi dan penyalahgunaan internet. Apabila bekerja dirumah, pekerja akan lebih santai ekoran dari persekitaran rumah yang tiada pengawasan dari majikan mahu pun teman pejabat.

Segelintir pekerja banyak menghabiskan waktu bekerja dengan menonton televisyen, melayari laman sesawang peribadi, dan berkomunikasi di media sosial dimana aktiviti dalam talian ini langsung tidak menyumbang kepada produktiviti organisasi.

Jika tidak ditangani dengan berkesan, keadaan ini berpotensi menjejaskan kesejahteraan pekerja, produktiviti organisasi serta kualiti hasil kerja secara keseluruhan.

Majikan dan pihak pengurusan memainkan peranan penting dalam membina budaya kerja yang sihat. Penyesuaian waktu kerja, fleksibiliti dalam pengurusan tugasan, serta komunikasi terbuka antara pengurusan dan pekerja dapat mengurangkan tekanan yang tidak perlu.

Selain itu, pekerja juga perlu mengambil langkah proaktif dengan memberikan sepenuh perhatian kepada tugasan-tugasan hakiki dengan penetapan keutamaan tugasan secara realistik. Ikhlas, jujur serta integriti menjadi kunci utama keberkesanan produktiviti secara optimum Ketika menjalankan tugas kerja ketika berada dirumah.

Tuntasnya, majikan dan pekerja perlu bekerjasama mewujudkan budaya kerja yang berintegriti, berdisiplin dan berfokus bagi memastikan kehadiran di tempat kerja benar-benar diterjemahkan kepada prestasi dan sumbangan yang berkualiti.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Nurul Atiqah Mohd Azlan
Pensyarah Pengurusan Komunikasi Organisasi
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA
E-mel: atiqahazlan@uitm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.