
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kedudukan Malaysia sebagai hab infrastruktur digital terus diperkukuh apabila syarikat pusat data global, Digital Realty, mengumumkan penubuhan platform operasinya di negara ini dengan kapasiti pembangunan pusat data sekitar 32 megawatt (MW).
- Perkembangan dijangka menarik lebih ramai pelabur global dalam industri pusat data dan teknologi digital ke Malaysia.
- Kerajaan memastikan ketersediaan bekalan tenaga mencukupi dan akan menangani isu bekalan air secara menyeluruh.
- Proses kelulusan pembangunan akan dipercepatkan bagi membolehkan projek dimulakan segera dan mempercepatkan pertumbuhan industri.
- Peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan, kecerdasan buatan dan data menuntut pusat data berkualiti serta kesalinghubungan global.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata perkembangan itu dijangka menarik lebih ramai pemain global industri pusat data dan teknologi digital untuk melabur di Malaysia.
“Kerajaan telah memastikan ketersediaan bekalan tenaga yang mencukupi bagi menyokong pembangunan pusat data, manakala isu berkaitan bekalan air akan ditangani secara menyeluruh.
“Selain itu, proses kelulusan pembangunan akan dipercepatkan bagi membolehkan projek dimulakan segera, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan industri pusat data di negara ini,” katanya pada Majlis Perasmian Kampus Pusat Data Sedia AI di sini, hari ini.
Menurut beliau, peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan (cloud), kecerdasan buatan (AI) dan data menjadikan pembangunan pusat data berkualiti tinggi serta mempunyai kesalinghubungan global sebagai elemen penting dalam memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi digital negara.