
GERIK, 6 Oktober -Seorang warga emas maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran Kampung Padang Jeri, Gerik, Perak.
- Kejadian kira-kira pukul 9 malam di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu.
- Melibatkan dua kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
- Siasatan awal: kenderaan dipandu dipercayai hilang kawalan, masuk laluan bertentangan, bertembung pacuan empat roda lalu melanggar kereta belakang.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta tampil dengan maklumat atau rakaman.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.00 malam tadi, di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kemalangan melibatkan dua kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kedua-dua kereta dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Gerik, sementara kenderaan pacuan empat roda datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa berusia 65 tahun dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.
“Kereta mangsa kemudian kembali ke laluan asal dan melanggar kereta di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya berusia 59 tahun serta pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 40 tahun cedera.
Pemandu dan penumpang kereta kedua tidak cedera.
Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Daerah Gerik untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya lagi.