
PUTRAJAYA, 8 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.
- Warga asing memasuki negara menggunakan visa pelawat atau pelancong, menjalankan perniagaan dalam sektor PMKS dan kadang kala menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
- Kerajaan menggesa kementerian dan agensi berkaitan melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap penyalahgunaan visa untuk aktiviti perniagaan.
- Contoh banyak dari China guna visa melancong membuka perniagaan kecil seperti baiki kenderaan, servis pendingin hawa, kedai kopi, menimbulkan keresahan rakyat.
Beliau berkata kerajaan menyedari ancaman ditimbulkan segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat atau pelancong.
“Mereka menjalankan aktiviti perniagaan termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Keadaan itu kadang kala menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan,” katanya.
Justeru, Datuk Seri Anwar mahu langkah penguatkuasaan lebih tegas terus dilakukan oleh kementerian dan agensi berkaitan.
“Banyak juga yang datang dari China menggunakan visa melancong tetapi membuka perniagaan kecil seperti membaiki kenderaan, perkhidmatan pendingin hawa, syarikat kecil dan kedai kopi. Ini menimbulkan keresahan kepada rakyat negara ini,” jelasnya.
Datuk Seri Anwar menyatakannya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.