Komitmen RTM slot siaran sejam, lonjak semula industri animasi tempatan

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail pada sesi libat urus Kementerian Komunikasi bersama pemain industri animasi tempatan di Hulu Kelang. Foto RTM

HULU KELANG, 6 Jun – Slot siaran satu jam animasi tempatan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha merancakkan semula industri animasi negara yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan pelbagai cabaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM memberi jaminan menyediakan slot khas untuk menyokong pembangunan industri animasi tempatan.
  • Inisiatif membuka peluang hasilkan dan menghidupkan semula IP animasi tempatan, menjangkau generasi muda.
  • Industri berkembang dengan graduan baru; isu hak IP perlu diperhalusi untuk membolehkan syarikat jana pendapatan.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS), Zahrin Zamzuri berkata, inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada penghasilan harta intelek (IP) yang baharu, malah menghidupkan semula karya animasi tempatan yang kurang dikenali generasi muda masa kini.

“Komitmen diberi RTM, satu slot siaran sejam lazimnya boleh memuatkan dua siri animasi. Dalam tempoh setahun, ia berpotensi menayangkan lebih 98 episod yang membabitkan sekitar 10 hingga 12 IP tempatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi libat urus industri animasi bersama Kementerian Komunikasi yang dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Terdahulu, Ashwad memberi jaminan RTM akan menyediakan slot khas itu sebagai usaha menyokong pembangunan industri animasi tempatan.

Mengulas lanjut mengenai slot sejam siaran berkenaan, Zahrin berkata peluang tersebut amat penting memandangkan industri animasi tempatan terus berkembang dengan pertambahan graduan serta tenaga kerja baharu yang memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ketika waktu kecil, kami sering menonton kartun di TV2. Banyak animasi yang menjadi rujukan terdahulu lahir daripada platform RTM. Sebagai contoh, Keluang Man kini diangkat di layar Perak, Upin dan Ipin serta BoBoiBoy berkembang melalui televisyen sebelum mencipta kejayaan lebih besar,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai hak berkaitan IP pula, beliau berharap isu tersebut dapat diperhalusi dengan sewajarnya bagi membolehkan syarikat animasi menjana pendapatan menerusi pelbagai platform.

Sesi libat urus yang menghimpunkan 105 peserta mewakili hampir 50 syarikat animasi tempatan itu, bagi membincangkan hala tuju, peluang dan cabaran semasa industri animasi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.