Iran dan Oman akan urus Selat Hormuz secara bersama

Foto REUTERS

TEHRAN, 6 Jun Iran memaklumkan bahawa negara itu akan bekerjasama dengan Oman dalam mengurus dan mengawal Selat Hormuz secara bersama, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tehran akan mengadakan perbincangan dengan negara-negara Teluk lain, namun keputusan muktamad akan ditentukan oleh Iran dan Oman.
  • Iran dakwa AS dan Israel menggunakan ruang udara serta wilayah UAE untuk melancarkan serangan terhadap negara itu.
  • Iran dan Arab Saudi komited meneruskan hubungan berhemah, manakala pemimpin tertinggi dikatakan mengawal situasi serta arahan dilaksanakan segera.

Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi berkata, Tehran akan mengadakan perbincangan dengan negara-negara rantau Teluk yang lain berhubung perkara tersebut, namun keputusan muktamad akan ditentukan oleh Iran dan Oman.

Dalam pada itu, beliau mendakwa Iran mempunyai bukti kukuh bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah menggunakan ruang udara serta wilayah Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Araghchi turut mendakwa hubungan diplomatik serta hubungan ekonomi dan perdagangan yang rapat antara UAE dan Israel menjadi faktor kepada dakwaan penglibatan negara tersebut dalam beberapa tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai bentuk bukti yang dimiliki Iran berhubung dakwaan itu.

Mengulas hubungan serantau, Araghchi berkata Iran dan Arab Saudi kekal komited untuk meneruskan hubungan secara berhemah dan bermaruah bagi memastikan kestabilan dua hala, selain terus mengekalkan saluran dialog antara kedua-dua negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa komunikasi dengan pihak berkaitan dalam kepimpinan tertinggi Iran sentiasa terbuka, dan setiap arahan akan disampaikan serta dilaksanakan dengan segera.

Araghchi dalam masa sama menegaskan bahawa pemimpin tertinggi berkenaan mempunyai kawalan penuh terhadap situasi semasa, namun tidak kerap muncul di khalayak atas faktor keselamatan selepas nasihat daripada agensi perisikan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.