PBB tingkat rayuan bantuan Lubnan kepada hampir AS$640 juta

Kesan serangan udara Israel di bandar pesisir Tyre, selatan Lubnan, yang mengorbankan tujuh individu/Foto AFP

GENEVA, 6 Jun – Kira-kira 1.4 juta penduduk Lubnan kini memerlukan bantuan kemanusiaan susulan konflik berterusan di negara itu, mendorong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan rayuan bantuan kepada hampir AS$640 juta (RM2.7 bilion).

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadaan kemanusiaan meruncing akibat perpindahan berulang, kekurangan tempat perlindungan dan tekanan terhadap perkhidmatan asas.
  • Hanya AS$185 juta diperoleh; tambahan AS$331 juta diperlukan sehingga penghujung Ogos untuk memenuhi keperluan.
  • Sektor kesihatan dan pendidikan terjejas: 62 hospital rosak atau tutup, hampir 450 sekolah jadi pusat perlindungan sementara.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan keadaan kemanusiaan di Lubnan semakin meruncing akibat perpindahan penduduk yang berulang, kekurangan tempat perlindungan dan tekanan terhadap perkhidmatan asas.

Menurut OCHA, penduduk yang terjejas semakin kehabisan sumber untuk meneruskan kehidupan, manakala peluang untuk kembali ke kawasan asal secara selamat masih terhad.

PBB sebelum ini melancarkan rayuan berjumlah AS$308 juta pada Mac lalu bagi menyokong operasi bantuan kecemasan sehingga penghujung Mei.

Bagaimanapun, tambahan AS$331 juta lagi diperlukan sehingga penghujung Ogos bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Setakat ini, hanya AS$185 juta daripada rayuan awal berjaya diperoleh, sekali gus membolehkan bantuan disalurkan kepada kira-kira 680,000 penduduk antara 2 Mac hingga 31 Mei lalu.

Data OCHA menunjukkan hampir sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, manakala lebih 1.2 juta lagi berdepan masalah ketidakjaminan makanan yang serius.

Konflik berterusan turut meningkatkan kos sara hidup dengan harga air, bahan api dan elektrik naik lebih satu pertiga di peringkat nasional, serta mencecah sehingga 70 peratus di kawasan yang terjejas.

Sektor kesihatan turut terkesan apabila 62 hospital dan kemudahan kesihatan sama ada rosak atau terpaksa ditutup.

Selain itu, hampir 450 sekolah kini digunakan sebagai pusat perlindungan sementara untuk penduduk yang dipindahkan, sekali gus meningkatkan risiko keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.